Jumaat, 16 November 2018 | 5:05pm
MAHKAMAH Tinggi Seremban, hari ini, memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah. - NSTP/Hazreen Mohamad

Pengundi DUN Rantau sudah jangka PRK

SEREMBAN: Ramai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sudah menjangka Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau akan diadakan apabila calon PKR DUN itu, Dr S Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu.

Kerani kedai perkakasan di Kuala Sawah, Rantau, di sini, Azura Aresan, 40, berkata sebagai anak jati Rantau, dia mengikuti perkembangan kes itu sejak difailkan di mahkamah.

Katanya, dia tidak terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Seremban pagi tadi kerana sudah menjangkakan keputusan tidak memihak kepada penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Apa yang penting, parti yang akan bertanding perlu meletakkan calon yang boleh menang dan boleh membuat kerja di sini,” katanya.

Peniaga Mohd Rizal Rosli, 44, berkata PRK itu tidak sepatutnya diadakan kerana membazir wang rakyat sedangkan kerajaan pernah memaklumkan kekurangan wang.

“Sebagai pengundi di Rantau, saya akui tidak suka PRK, tetapi kami terpaksa menerimanya selepas diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Bagi Abdul Halim Kudus, 57, beliau tidak kisah PRK diadakan di kawasan itu.

Katanya, kebanyakan pengundi mengharapkan calon anak jati DUN itu yang dikenali masyarakat setempat menang.

“Saya ada dengar ada pihak luar yang cuba untuk menjadi calon di sini. Kami sebagai pengundi tidak akan terima orang luar sebagai ADUN Rantau.

“Kami tidak mahu mereka sekadar menjadi ADUN di sini, kemudian tidak ambil tahu kawasan sendiri,” katanya.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar, turut memutuskan supaya PRK di kawasan itu diadakan serta merta.

1357 dibaca
Berita Harian X