Jumaat, 16 November 2018 | 2:24pm
CALON Ketua Wanita PKR, Haniza Talha menyampaikan ucapan dasar ketika Kongres Wanita Nasional PKR di Shah Alam. - NSTP/Aziah Azmee

Terus berjuang walaupun sudah jadi kerajaan - Wanita PKR

SHAH ALAM: Wanita PKR diingatkan supaya terus membawa perjuangan parti meskipun sudah menjadi kerajaan.

Timbalan Ketuanya, Haniza Mohamed Talha, berkata, asas perjuangan selama ini adalah semangat yang perlu diteruskan selain memastikan idealisme dapat direalisasikan.

“Ini semangat yang perlu ada. Jawatan bukan buruan, habuan bukan rebutan tetapi asas perjuangan itu perlu diteruskan.

“Kita menjadi suara sebenar wanita Malaysia dengan setiap tindakan yang kita laksanakan demi kepentingan wanita negara ini.

“Kita dididik untuk tidak tunduk mengalah malah lebih kuat bersuara sekiranya nasib dan hak wanita negara ini terus tercabar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Konvensyen Wanita PKR, di IDCC, di sini, hari ini.

Calon Ketua Wanita PKR itu berkata, sayap Wanita akan terus bersuara tanpa menyekat sebarang isu selagi ia memberi kesan kepada wanita negara ini.

Katanya, tindakan itu adalah legasi yang akan disambung kepemimpinan akan datang, sekali gus menetapkan iltizam memastikan Wanita PKR terus memperjuangkan hak, nasib dan masa depan wanita.

“Dari isu eksploitasi wanita Penan, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pembabitan wanita dalam pembangunan ekonomi dan banyak lagi, Wanita PKR adalah yang paling lantang bersuara.

“Dalam isu eksploitasi wanita Penan, atas tindakan dan desakan kita pada ketika itu, isu ini bukan sahaja mendapat perhatian kerajaan pemerintah tetapi juga ke peringkat antarabangsa.

“Begitu juga dengan isu perkahwinan kakak-kanak. Apabila sampai ke kepemimpinan Wanita PKR, kita yang pertama memberi respon dan tekanan kepada pihak kerajaan untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

198 dibaca
Berita Harian X