Khamis, 15 November 2018 | 9:35pm
GAMBAR fail, Ketua Umum PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir merasmikan Majlis ulang tahun ke 38 Persatuan Keturunan Toh Port Dickson di The Grand Lukut. - Foto Hazreen Mohamad

Ucapan sulung Anwar, amanat terakhir Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Ucapan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR, dijangka menjadi tumpuan utama ahli parti serta rakyat pada Kongres Nasional PKR 2018, hujung minggu ini.

Kongres tahunan itu juga bakal mencipta sejarah tersendiri apabila ia adalah yang pertama selepas PKR menjadi kerajaan pusat susulan kejayaan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata pesanan dan amanat Anwar pasti dinantikan kira-kira 2,000 perwakilan yang kemudiannya akan mencorakkan perbahasan sepanjang kongres berkenaan.

“Selain ucapan Anwar, kongres ini juga akan memberi makna tersendiri kepada anggota PKR yang bakal mendengarkan amanat terakhir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Anwar yang ketika ini menyandang jawatan Ketua Umum PKR, bakal diumumkan sebagai presiden parti yang baharu selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

Kongres Nasional PKR pada Sabtu dan Ahad ini juga bakal menobatkan barisan pimpinan baharu parti itu bagi sesi 2018-2021.

Dr Wan Azizah menjadi Presiden PKR sejak 1999 dan memacu parti yang berstatus pembangkang selama hampir 20 tahun, sehingga berjaya muncul sebagai parti terbesar dalam blok kerajaan hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata selaku parti terbesar dalam blok kerajaan, kongres PKR akan menjadi perhatian rakyat serta warga dunia dengan beberapa duta dan wakil parti politik luar negara dijangka hadir.

“Tidak boleh dinafikan, mungkin ini adalah kongres paling dinantikan anggota PKR sejak penyertaan pertama parti ini dalam PRU pada 1999.

“Semestinya suasana kongres ini akan lebih meriah berbanding sebelum ini, disamping anggota PKR juga menantikan perbahasan dan penggulungan, serta ucapan pemimpin yang baharu dipilih,” katanya.

Ditanya mengenai agenda perbahasan, Fahmi berkata ucapan dasar presiden akan menjadi kerangka perbincangan selain isu organisasi parti, ekonomi, sosial dan reformasi politik yang sedang diusahakan bertemakan ‘memaknai demokrasi, menterjemah reformasi’.

“Kongres kali ini juga adalah kali pertama kita akan mengungkapkan pendirian pada ketika kita mampu membawa perubahan yang begitu besar sebagai kerajaan,” katanya.

Mengenai sama ada isu melingkari pemilihan parti akan mencetus bahang kongres, Fahmi menjangkakan ia tidak akan timbul atau menjadi topik utama perbahasan.

“Anggota parti perlu bersikap terbuka, berlapang dada dan menerima keputusan muktamad Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) serta bergerak maju ke depan, dan saya percaya semua pucuk pimpinan PKR sedia menerima semua ahli yang mahu berkhidmat demi rakyat dan negara,” katanya.

4044 dibaca
Berita Harian X