Khamis, 15 November 2018 | 4:00pm
SETIAUSAHA Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tiada perbincangan rombakan Kabinet - BERSATU

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan mengenai soal rombakan Kabinet dilakukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) setakat ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata parti itu juga tidak menerima sebarang cadangan nama daripada mana-mana pihak untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, bagi tujuan berkenaan.

“Setahu saya, tiada apa-apa mesyuarat yang diadakan setakat ini untuk untuk membincangkan hal berkenaan dan kami juga tidak menerima sebarang cadangan nama.

“Apapun, sebarang keputusan berkaitan parti BERSATU adalah terserah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Pengerusi (Dr Mahathir) dan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Beliau mengulas mengenai desas-desus rombakan Kabinet yang dikatakan akan berlaku dalam masa terdekat.

Semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui tidak menerima cadangan nama dari mana-mana pihak untuk diserahkan kepada Perdana Menteri bagi tujuan rombakan Kabinet.

Anwar berkata, pendirian parti pada masa ini berhubung kedudukan Ahli Parlimen PKR dalam Kabinet juga tidak berubah.

Pendirian yang sama turut dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berkata pihaknya tidak menyerahkan sebarang nama bagi tujuan rombakan Kabinet.

Mengulas lanjut, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri berkata, kenyataan perdana menteri bahawa kemungkinan besar berlakunya rombakan Kabinet itu sebenarnya mempunyai dua makna tersendiri.

Katanya, pada satu sudut kenyataan itu mungkin adalah sebagai motivasi daripada seorang perdana menteri yang berpengalaman untuk mendorong anggota Kabinet supaya bekerja lebih keras demi rakyat.

“Dari satu sudut lagi, ia mungkin adalah peringatan terbuka daripada perdana menteri kepada ahli Kabinet,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berpendapat masih terlalu awal untuk menentukan siapa perlu disingkirkan daripada Kabinet kerana hampir 90 peratus mereka adalah muka baharu yang tiada pengalaman.

Katanya, memang diakui kebanyakan menteri mempunyai banyak idea baharu namun mereka mungkin berdepan kesukaran kerana terdapat polisi kerajaan lama yang masih dikekalkan.

“Beri masa untuk mereka perlahan-lahan melaksanakan polisi baharu, mengikut acuan kerajaan baharu ini.

“Namun, jika benar perdana menteri berhasrat untuk melakukan rombakan Kabinet, ia perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan kerana desakan pihak tertentu,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, anggota Kabinet juga tidak boleh lagi terus dibuai mimpi atau mengalami kejutan budaya, sebaliknya perlu bekerja keras untuk menunaikan janji manifesto pilihan raya mereka.

Katanya, ini kerana rakyat sedang menilai dan sebarang kesilapan atau kenyataan yang tidak disengajakan oleh seseorang menteri akan memberi kesan kepada kabinet secara keseluruhan.

“Kita hargai idea baharu yang kerajaan ingin laksanakan namun ia perlu diteliti supaya sesuai dengan kehendak rakyat,” katanya.

Berita Harian X