Rabu, 14 November 2018 | 4:03pm

Rafizi jadi MB spekulasi nakal - Aminuddin

SEREMBAN: Khabar angin Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, bakal menggantikan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, disifatkan sebagai cerita nakal.

Aminuddin ketika mengulas perkara itu berkata, mahkamah belum membuat keputusan sama ada PRK DUN Rantau diadakan atau tidak, namun banyak pihak sudah mula menyebarkan spekulasi dan khabar angin.

“Ini adalah perkara biasa dan saya rasa Rafizi pun sedia maklum ini adalah spekulasi nakal yang sengaja disebarkan pihak tertentu. Bagi saya, Rafizi mempunyai peranan lebih besar, bukan di peringkat negeri.

“Apa pun, kita sedar jika PRK diadakan, ia akan menjadi sengit kerana menentang Timbalan Presiden UMNO (Ahli DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan) di kubu kuat parti itu.

“Kita serahkan kepada biro politik dan presiden sendiri untuk memilih calon. Saya akan serahkan dua atau tiga nama calon tempatan, namun tidak menolak kemungkinan parti mempunyai calon lain dari luar,” katanya.

Aminuddin yang secara rasminya masih bercuti selepas menjalani pembedahan pintasan jantung hujung bulan lalu, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Pada 23 Mei lalu, calon PKR bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr S Streram, mengemukakan petisyen supaya PRK di DUN Rantau diadakan serta-merta kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Mengenai kesihatannya, Aminuddin yang dijangka mula bekerja Isnin depan, bersyukur kerana semakin pulih dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya sebelum ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohamad Nazaruddin Sabtu, yang dilaporkan sakit sehingga mengganggu tugasnya sebelum ini, sudah semakin sihat.

“Beliau sudah mula aktif menjalankan aktiviti dan tugas sebagai EXCO dan ADUN Pilah, malah beliau hadir pada mesyuarat EXCO hari ini,” katanya.

Aminuddin juga menafikan dakwaan kononnya cukai taksiran dinaikkan, sebaliknya menjelaskan sesetengah pihak salah faham mengenai kadar cukai sebenar.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan operasi pemutihan dengan menaikkan kadar cukai bagi pemilik kediaman yang melakukan pengubahsuaian kediaman mengikut nilai semasa,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau turut akan membentangkan Bajet 2019 Negeri Sembilan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 17 hingga 19 Disember depan.

MENTERI Besar, Aminuddin Harun pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di kediaman rasminya di Seremban, hari ini. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X