Ahad, 11 November 2018 | 8:20pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Asyraf Hamzah

Azmin terus dahului Rafizi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli, dalam usaha mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan majoriti 7,413 undi.

Ia selepas Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 67,504 undi berbanding Rafizi yang mendapat 60,091 undi.

Ia adalah keputusan tidak rasmi setakat ini diperoleh dari 14 negeri yang sudah melaksanakan pemilihan sejak 22 September lalu hingga hari ini, membabitkan Sarawak, Kuala Selangor dan Jelebu.

Mohamed Azmin memperoleh 4,021 undi berbanding Rafizi yang meraih 1,884 undi daripada pemilihan membabitkan 28 cabang parti itu di Sarawak.

Pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diadakan semula hari ini menyaksikan Mohamed Azmin memperoleh 982 undi, manakala pencabarnya, Rafizi menerima 389 undi.

Keputusan pengundian semula pemilihan PKR Cabang Jelebu menyaksikan Mohamed Azmin meraih 83 undi dan Rafizi 59 undi.

Pengundian Cabang Julau di Sibu, masih digantung berikutan faktor teknikal, termasuk isu perisian e-undi yang digodam.

Cabang berkenaan merekodkan jumlah ahli PKR disahkan layak mengundi sebanyak 13,000 ahli, namun daripada keseluruhan ahli berkenaan, hanya 2,000 sahaja ahli parti keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah memuktamadkan keputusan pemilihan.

Bagi jawatan Naib Presiden, penyandangnya yang Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mendahului senarai calon yang merebut jawatan itu dengan 67,050 undi.

Ia diikuti rapat Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin (52,226 undi), Ahli Parlimen Kuala Langat dan juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (47,566 undi) dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (42,608 undi).

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) diungguli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, mendahului dua pencabarnya apabila meraih 14,000 undi setakat ini.

Pencabar terdekatnya, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, memperoleh 13,169 undi, manakala ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi mendapat 2,982 undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua AMK, ADUN Gombak Setia, Hilman Idham, mendahului saingan dengan 16,951 undi, diikuti Raymond Ahuar dan Naqiuddin Nazrin, masing-masing memperoleh 8,440 undi dan 2,712 undi.

Bagi jawatan Ketua Wanita PKR, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha, mendapat 24,179 undi, mendahului pesaingnya, iaitu Ahli Parlimen Kuantan, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh, yang mendapat 19,662 undi.

Persaingan Timbalan Ketua sayap itu menyaksikan Dr Daroyah Alwi, meraih 23,599 undi berbanding pesaingnya Rodziah Ismail (18,006 undi).

Bagi persaingan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sekutu Mohamed Azmin menguasai 15 daripada 20 slot yang ditawarkan, antaranya Ketua Cabang PKR Sungai Tua, Amirudin Shari; Pengerusi Biro Politik PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ketua Cabang PKR Subang, R Sivarasa.

1707 dibaca
Berita Harian X