Ahad, 11 November 2018 | 3:55pm
CALON Ketua Wanita PKR, Haniza Talha. - Foto Owee Ah Chun

Haniza optimis menang jawatan Ketua Wanita PKR

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha optimis beliau mempunyai peluang cerah untuk kekal mendahului pencabarnya Fuziah Salleh sekali gus memenangi jawatan itu.

Setakat jam 4 petang tadi, Haniza merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan memperoleh 24,179 undi meninggalkan Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan apabila mendapat 19,662 undi.

Ketika dihubungi, Haniza yakin berdasarkan usaha dan komitmen yang dicurahkan selama ini mampu memastikan beliau berada di landasan kemenangan.

“Pasukan kami bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan di pihak wanita berdaya dan terus mara.

“Setakat ini, peluang cerah untuk terus kekal mendahului lawan. Sehubungan itu, ahli parti terutama pemimpin perlu muhasabah diri bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan dengan adil dan betul,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai isu yang kerap kali berlaku ketika pemilihan berlangsung, Haniza berharap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) harus bertindak sebagai badan yang neutral.

Bagi memastikan badan itu sentiasa telus, Haniza menegaskan JPP perlu memastikan setiap ahli jawatankuasanya tidak menjadi ‘pak turut’ kepada pihak tertentu.

“JPP perlu bersikap profesional. Tidak terikat dengan pihak yang melantik JPP. Walaupun banyak tekanan, JPP mesti menjadi badan yang neutral dan tidak tertakluk kepada arahan serta telunjuk mana-mana pihak.

“Bagi ahli dan pemimpin, saya harap semua dapat meninggalkan aksi kempen yang kotor dan menggantikannya dengan amalan politik matang dan berprinsip untuk bersama, terus mara sebagai satu pasukan,” katanya.

399 dibaca
Berita Harian X