Ahad, 11 November 2018 | 2:31pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan anugerah Tokoh Puteri Kebangsaan 2018 kepada Nur Elyda Ezani pada Majlis Penutup Hari Puteri Peringkat Kebangsaan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018 di Kompleks Darul Puteri, Cheras, hari ini. - Foto Aziah Azmee

Kontroversi di Julau akibat pertambahan ahli - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kontroversi yang berlaku pada pemilihan PKR di Julau, Sarawak, disebabkan oleh pertambahan bilangan ahli.

Menurutnya, ini kerana parti berkenaan sudah berkembang dan bilangan ahli juga semakin ramai.

“Dulu mungkin ahli PKR tidak ramai tetapi sekarang sudah lebih (bertambah), jadi kita mungkin berdepan masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Apapun, kita harap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) segera menyiasat punca masalah dan menangani kepincangan yang berlaku.

“Proses penyiasatan masalah itu juga perlu neutral tanpa menyebelahi mana-mana pihak dan saya sendiri tidak mahu terbabit walaupun ada calon yang menjadi pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Puteri Peringkat Kebangsaan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia 2018 di Kompleks Darul Puteri, Cheras, hari ini.

Beliau mengulas keputusan pemilihan PKR Cabang Julau, semalam yang digantung berkuat kuasa serta-merta selepas pihak JPP mengesan sistem e-undi di pusat pemilihan cabang dekat Sarikei, Sarawak menerusi penggunaan 10 unit tablet itu gagal berfungsi seperti biasa.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din dilaporkan berkata, kegagalan itu dipercayai berpunca daripada pencerobohan perisian Prey Anti-Theft, justeru laporan berhubung serangan terbabit dihantar bagi mendapatkan maklum balas pasukan keselamatan siber JPP di Petaling Jaya.

Katanya, maklumat yang diterima mendapati perisian itu digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal peranti berkenaan menggunakan komputer dari jarak jauh.

“Unit sistem dan teknologi maklumat JPP mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah ini dengan menukar mod undian kepada ‘offline’, mematikan ‘privilege device administrator’ (kawalan khas peranti oleh pangkalan utama) dan ‘membuang’ aplikasi Prey Anti-Theft daripada sistem pengurusan aplikasi,” katanya.

Pemilihan Julau sebelum ini menjadi perhatian selepas wujud kecurigaan berhubung jumlah keahlian PKR cabang itu yang meningkat secara mendadak daripada 603 kepada 13,000 ahli dalam tempoh sehari, pada 27 Jun lalu.

Masalah itu mencetuskan rasa curiga pemimpin PKR Sarawak yang kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana khuatir berlaku salah guna kuasa dalam parti berkenaan.

Susulan penemuan serangan siber itu, Rashid dilaporkan berkata, JPP kini menyiasat sama ada modus operandi sama digunakan di tempat lain yang turut mengadakan pemilihan parti, semalam

“Siasatan awal mendapati aplikasi terbabit dimasukkan dalam tablet rasmi JPP yang diperuntukkan bagi cabang Julau pada Sabtu sekitar jam 4 pagi,” katanya.

339 dibaca
Berita Harian X