Ahad, 11 November 2018 | 2:16pm

Saya tiada hak campur urusan pemilihan - Anwar

PORT DICKSON: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak boleh campur tangan dalam pemilihan parti walaupun banyak pihak mendesaknya berbuat demikian.

Beliau berkata, semua urusan pemilihan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan beliau tiada hak untuk masuk campur walaupun menyedari pelbagai masalah dibangkitkan sepanjang proses berkenaan.

“Ramai minta saya campur tetapi saya tidak boleh. Ini yang tidak difahami semua, termasuk media. Parti memutuskan segala urusan pemilihan dikendalikan oleh JPP dan kalau parti berbincang semula mengenai beberapa kelemahan itu, kita boleh rujuk (usaha untuk perbaiki).

“Saya minta dan menyeru kepada semua supaya keadaan terkawal, tenang dan calon menerima keputusan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Wushu Piala Long Yi Port Dickson 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri, Choo Ken Hwa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Tanjung, M Ravi.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, tidak menolak kemungkinan keputusan penuh pemilihan PKR akan diterima lewat daripada jangkaan disebabkan pelbagai masalah yang timbul, termasuk serangan siber dan taktik kotor pihak tertentu.

“Apa pun, saya fikir kita tidak patut panjangkan lagi pemilihan ini kerana memanjangkan proses itu akan menimbulkan banyak pertelagahan dalaman dan secara tidak langsung (kembali) menyentuh (mempersoalkan) mengapa saya tidak berbuat sesuatu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dakwaan berkaitan penipuan, kerosakan tablet dan ugutan dalam pemilihan PKR perlu dilaporkan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut

Ditanya mengenai kedudukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun tiada jawatan dalam parti selepas ini, Anwar yang juga bakal Presiden PKR, berkata perkara itu tidak menjadi masalah.

“Tidak ada isu berbangkit sebab keputusan itu dahulu dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Azizah serta Pakatan Harapan,” katanya.

Hari ini, tujuh cabang PKR yang bermasalah dalam pemilihan parti mengadakan semula pengundian di kawasan masing-masing iaitu Kuala Selangor, Selangor; Jelebu, Negeri Sembilan; Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin di Melaka.

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Kejohanan Wushu Piala Long Yi Port Dickson 2018 di Port Dickson, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X