Ahad, 11 November 2018 | 10:05am
RAFIZI Ramli berbual melalui telefon ketika proses pengundian di gantung sementara akibat masalah teknikal di Kompleks Sukan Julau, Julau. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Pemilihan semula di Julau satu proses sukar - Rafizi

JULAU: Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, bimbang jika pemilihan semula terpaksa dilakukan di Cabang Julau berikutan masalah teknikal yang dihadapi ketika proses pengundian di cabang itu semalam.

Rafizi berkata, kebimbangan itu bukan sahaja disebabkan beliau sudah kehabisan dana untuk menghadapi pemilihan semula di kawasan sama.

Malah, katanya, beliau bimbang ahli parti terutama yang tinggal jauh di pedalaman tidak mampu lagi untuk mengulangi proses yang sama.

"Saya percaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan mengadakan pemilihan semula di Julau, tetapi saya bimbang sama ada ahli parti termasuk petugas JPP sendiri masih mampu untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan proses pengundian

"Perbelanjaan besar diperlukan untuk pemilihan semula kerana kita perlu menggerakkan ahli parti di kawasan luar bandar yang memerlukan masa dan logistik," katanya kepada NSTP, di sini semalam.

Rafizi yang akan ke Bintulu seterusnya ke Sabah dari Sibu hari ini, bagaimanapun berkata, beliau akur jika parti mahu proses pengundian itu perlu diadakan semula.

Pada masa yang sama, beliau menuntut supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang menggodam sistem e-undi sehingga menyebabkan keputusan pemilihan bagi Cabang Julau digantung.

"Larry (Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien) dan Rodziah (EXCO Selangor, Rodziah Ismail) sudah membuat laporan polis berhubung isu itu dan terpulang kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya," katanya.

Difahamkan JPP dan unit teknologi maklumat PKR mengesan sesuatu yang tidak normal pada sistem e-undi di pusat pengundian di Kompleks Sukan Julau pada jam 2 petang, semalam.

Malah Rafizi mendakwa beliau mengesan seseorang di dalam dewan pengundian itu menyentuh peranti yang digunakan dalam proses pengundian dan seolah-oleh melakukan sesuatu yang pelik.

"Saya sempat merakam video dan menyoal individu terbabit seterusnya memaklumkan kepada JPP di Kuala Lumpur," katanya

Walaupun masalah itu dikesan pada jam 2 petang, proses pengundian diteruskan sehingga jam 4.30 petang dengan kira-kira 2,000 daripada 13,000 ahli parti bagi Cabang Julau menunaikan tanggungjawab mereka.

Berdasarkan keputusan di 21 cabang lain di Sarawak yang melaksanakan pengundian semalam, Rafizi hanya memenangi lima daripadanya dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, menang dengan majoriti 1,375 undi.

Pada keseluruhannya, Mohamed Azmin kini mendahului dengan 62,421 undi, manakala Rafizi 57,844 undi.

1411 dibaca
Berita Harian X