Sabtu, 10 November 2018 | 6:43pm
CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berbincang bersama penyokong ketika proses pengundian di gantung sementara akibat masalah teknikal di Kompleks Sukan Julau, Julau. - NSTP/Mohd Radzi Bujang
CALON Ketua Cabang Julau, Larry Sng (dua dari kiri) menunjau proses pengiraan undi sebelum di gantung sementara akibat masalah teknikal di Kompleks Sukan Julau, Julau. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Keputusan pemilihan Cabang Julau ditangguh

JULAU: Proses pemilihan PKR di Cabang Julau yang disifatkan sebagai cabang penentu nasib Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya bagi jawatan Timbalan Presiden parti, Rafizi Ramli, berjalan lancar sehingga pusat pengundian ditutup jam 4.30 petang ini.

Hanya berlaku sedikit kekecohan berlaku pagi tadi apabila salah seorang calon yang bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Cabang Julau diarahkan keluar dewan selepas tercetus pertikaman lidah dengan petugas keselamatan parti.

Bagaimanapun, pertengkaran antara calon terbabit, Wong Hong Yu dengan petugas keselamatan yang didatangkan dari ibu pejabat PKR, berjaya ditenteramkan anggota polis yang berkawal di luar dewan.

Kontroversi tercetus di cabang berkenaan apabila jumlah ahlinya meningkat mendadak daripada 603 kepada 13,000 orang pada Jun lalu.

Berikutan itu, perhatian seluruh negara terarah ke PKR Cabang Julau yang disifatkan penentu nasib Mohamed Azmin yang sebelum ini mendahului Rafizi dengan lebih 2,500 undi.


SEBAHAGIAN ahli PKR mengundi untuk memilih Exco Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Kompleks Sukan Julau, Julau. - NSTP/Mohd Radzi Bujang

Pusat pengundian di Kompleks Sukan Julau ditutup pada jam 4.30 petang, namun sehingga jam 5.30 petang, keputusan pemilihan belum dapat diumumkan.

Ketua Pengawas Pemilihan Cabang Julau, Mohd Azahari Daud berkata, penangguhan keputusan itu terpaksa dilakukan akibat masalah teknikal.

“Semua data pengundian terpaksa dihantar ke pusat teknologi maklumat Jawatankuasa Pusat Pemilihan (JPP),” katanya.

693 dibaca
Berita Harian X