Sabtu, 10 November 2018 | 5:01pm
TIMBALAN Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto Rasul Azli Samad

'UMNO tidak berdosa'

MELAKA: UMNO tidak berdosa sehingga perlu ‘dikorbankan’, sebaliknya pemimpin yang tidak amanah serta bertanggungjawab mengemudi UMNO yang tidak seharusnya kekal berada dalam parti itu.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata UMNO tidak harus dipersalahkan sebaliknya mengakui segelintir ahlinya yang ‘berdosa’ sehingga merosakkan matlamat sebenar UMNO terhadap perjuangan ketuanan bangsa Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau berkata, cadangan membubarkan UMNO adalah tidak tepat, sedangkan yang merosakkan parti itu adalah dalam kalangan ahlinya sendiri bukannya oleh parti UMNO.

“Itu hanyalah pandangan peribadi beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) supaya UMNO dibubarkan. Yang sebenarnya UMNO terlalu banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam di negara ini. Yang berdosa itu adalah ahli parti bukannya UMNO.

“UMNO adalah parti pejuang, kita yang membebaskan negara ini daripada penjajah. Malah pembangunan pesat yang dinikmati negara hari ini adalah kesan daripada sumbangan besar parti UMNO,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam, yang menyuruh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tiada.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO berkata, UMNO kini hanyalah badan berdaftar yang tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, UMNO kini dalam fasa pembersihan untuk mengukur tahap kesetiaan sebenar ahli dan kepemimpinan UMNO itu sendiri selepas ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

“Tidak perlu sebarang tindakan (hukuman) kepada ahli yang merosakkan perjuangan UMNO. Sebaliknya kita mengalu-alukan mereka yang sudah melakukan kerosakan dan tidak setia terhadap perjuangan parti ini supaya keluar sendiri daripada UMNO.

“Kita alu-alukan mereka yang mempunyai kepentingan diri supaya keluar daripada UMNO. Inilah sebahagian daripada proses pembersihan dalam UMNO itu sendiri,” katanya.

2300 dibaca
Berita Harian X