Jumaat, 9 November 2018 | 5:26pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Buktikan 'taubat' anda - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli UMNO yang berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu membuktikan mereka sudah ‘taubat’ daripada tabiat buruk dalam parti politik lama.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, berkata BERSATU akan menerima ahli UMNO yang disenangi atau sudah diteliti pelakuannya.

Katanya, BERSATU akan menapis kemasukan dan tidak akan menerima individu, yang masih berpegang kepada niat masuk parti politik untuk mendapat peluang (kedudukan).

“Kalau sekarang ini, sesiapa yang ingin menyertai parti BERSATU, mereka mesti buktikan sudah tidak terikat lagi dengan UMNO, mereka menyokong tindakan baik yang dilaksanakan BERSATU.

“(Buktikan) Mereka bukanlah boleh masuk sebagai satu kumpulan besar, yang berniat untuk menguasai atau BERSATU.

“BERSATU tidak boleh dikuasai sesiapa. BERSATU dikuasai perjuangannya,” katanya dalam satu temubual yang dimuat naik di platform media sosial BERSATU, hari ini.

Beliau mengulas penolakan ahli BERSATU untuk menerima kemasukan beramai-ramai ahli UMNO kerana risau budaya buruk UMNO diserap ke dalam BERSATU.

Dr Mahathir mendakwa sikap buruk pemimpin dan ahli UMNO adalah dipengaruhi wang, ‘cash is king’ menyebabkan parti itu ditolak rakyat.

Katanya, ahli UMNO perlu bertindak dari awal menyingkirkan pemimpin dipengaruhi wang, ‘cash is king’ dan bukannya, kekal dalam pentadbiran walaupun kecewa dengan pentadbiran regim lalu.

“Ahli UMNO perlu bertindak menyingkirkan pemimpin yang sudah menyeleweng.

“Sekurang-sekurangnya, apabila pemimpin itu mengeluarkan pemimpin yang lurus, sepatutnya mereka (ahli UMNO) keluar bersama. Dengan itu pemimpin itu akan jatuh.

“Tetapi kerana dipengaruhi wang, ‘cash is king’, mereka tidak menurut (keluar parti). Mereka kekal dalam UMNO, dan akhirnya kelakuan mereka tidak disenangi dan disukai rakyat. Rakyat tolak mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata ramai ahli UMNO perlu keluar parti ketika krisis pentadbiran berlaku sebelum ini, jika benar mereka berpegang kepada kepada prinsip perjuangan UMNO.

Bagaimanapun, dakwanya, ramai ahli UMNO terpengaruh dengan wang yang mudah sehingga sanggup menjual perjuangan UMNO.

“Perjuangan UMNO bukan untuk orang tertentu seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein atau beliau sendiri.

“Perjuangan UMNO adalah untuk bangsa, agama dan negara.

“Tetapi bila kita lihat perjuangan puak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin, sehingga tidak mahu pedulikan pemimpin yang buat perkara tidak baik, ketika itu beliau bukan UMNO lagi,” katanya.

Dr Mahathir mengakui BERSATU diterokai, dimula, didaftar oleh orang bekas ahli UMNO bahkan, pemimpin-pemimpin UMNO yang lurus, bersih serta kecewa dengan pentadbiran regim lalu.

Ketika ditanya nasihat kepada ahli UMNO yang masih berfikir atas pagar dan hendak masuk BERSATU, Dr Mahathir berkata mereka perlu membuang sentimen ‘tidak tahu’ dengan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau tidak boleh menerima dakwaan yang ahli UMNO naif, tidak tahu apa yang berlaku dalam skandal penerimaan wang RM2.6 bilion daripada sumber, dipercayai Kerajaan Arab Saudi.

“Satu perkara mustahil mereka tidak tahu, satu dunia sudah tahu. Kalau betul-betul mereka tidak tahu, ini bermakna mereka tidak ambil berat dalam perjuangan parti mereka.

“Saya tidak boleh terima dakwaan kononnya mereka masih percaya duit yang banyak itu diberi oleh orang Arab , RM2.6 bilion.

“Saya minta RM100 pun tidak dapat. Apa yang Najib buat sampai Pak Arab baik sangat bagi duit begitu banyak? Tidak masuk akal.

“Yang masuk akal ialah, dia (Najib) curi duit 1MDB. Tetapi ada ahli UMNO, rupanya tidak tahu, (dan ingat) saya percaya terhadap dakwaan mereka.

“Kalau orang macam ini nak jadi ahli UMNO, dia tetap akan merosakkan UMNO. Dan kalau orang macam ini masuk BERSATU, dia akan rosak parti BERSATU,” katanya.

4517 dibaca
Berita Harian X