Jumaat, 9 November 2018 | 4:59pm

Polis kawal ketat pemilihan PKR Julau

JULAU: Kontroversi yang tercetus di Cabang PKR Julau menjadikan kawasan itu menjadi perhatian utama pada pemilihan parti itu, esok.

Justeru, polis diletakkan dalam keadaan bersedia sepenuhnya bagi memastikan pemilihan di cabang berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Bidol Noyeng berkata, ketika ini semua pegawai dan anggotanya sedang memantau sebarang aktiviti penyokong dua puak yang bertanding.

“Kami sudah bersedia sepenuhnya sejak beberapa hari lalu dan akan terus mengawasi keadaan sehingga selesai pemilihan nanti,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Bidol berkata, ketika ini beliau yakin dengan kemampuan anggota di Julau untuk mengawal keadaan.

“Tetapi jika keadaan mendesak, kami mungkin akan mendapatkan bantuan anggota dari luar Julau,” katanya.

Katanya lagi, walaupun beberapa lokasi dinamakan sebagai pusat pengundian pada pemilihan esok, permit hanya dikeluarkan di Kompleks Sukan Julau.

“Kompleks Sukan Julau luas dan polis yakin ahli parti yang datang mengundi akan lebih selesa di lokasi itu,”katanya.

Julau menjadi perhatian seluruh negara selepas selepas wujud kecurigaan berhubung jumlah keahlian PKR Cabang itu yang meningkat secara mendadak daripada 603 kepada 13,000 ahli dalam tempoh sehari pada 27 Jun lalu.

Masalah itu menimbulkan rasa curiga pemimpin PKR Sarawak yang kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana khuatir berlaku salah guna kuasa dalam parti itu.

Bagaimanapun, semalam Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti itu mengesahkan keahlian baharu bagi Cabang Julau kerana pendaftaran mereka tidak melanggar sebarang proses.

Beliau berkata, perkara itu disahkan malam semalam melalui Mesyuarat Biro Politik parti.

Kemelut berlarutan apabila hari ini, Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya, pula menuntut supaya pemilihan di Cabang Julau ditangguhkan.

Beliau mendakwa, kelulusan pendaftaran keanggotaan cabang Julau yang disahkan Biro Politik PKR jelas cubaan menafikan aduan membabitkan penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan parti itu.

Katanya, keputusan Biro Politik untuk mengesahkan senarai itu hanya satu percubaan badan pembuat keputusan tertinggi PKR untuk menutup isu kontroversi mengenai keanggotaan di cabang itu.

587 dibaca
Berita Harian X