Jumaat, 9 November 2018 | 3:17pm
PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cabang Julau tak bantah

KUALA LUMPUR: Isu keanggotaan baharu PKR Cabang Julau tidak pernah dibantah ahli cabang itu walaupun mempunyai waktu mencukupi ketika tempoh bantahan, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tiada sebarang pelanggaran proses mengenai keanggotaan baharu kerana semua cabang diberi tempoh membantah, antara 27 Jun dan 17 Julai lalu.

“Pada waktu itu, tiada sesiapa yang bantah tapi kenapa tiba-tiba baru sekarang hendak bantah dan ia adalah satu proses yang salah,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media hari ini mengenai kontroversi keanggotaan PKR Cabang Julau selepas jumlahnya menunjukkan peningkatan mendadak daripada 603 kepada 13,549 hanya dalam tempoh sehari.

Media turut mendedahkan sekurang-kurangnya 11,399 daripada jumlah itu berkongsi alamat yang sama.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Ismail Yusop ketka dihubungi NSTP menjelaskan, cabang Julau sudah dimaklumkan mengenai permohonan ahli baharu sebelum ini yang menjadi antara Prosedur Operasi Standard (SOP) parti.

“Setiap permohonan keanggotaan ahli baharu mesti melalui cabang sebagai SOP proses keanggotaan.

“Memang permohonan itu dihantar terus ke ibu pejabat PKR, tetapi selepas itu ia diberi kepada cabang selepas 27 Julai lalu untuk mereka membuat semakan.

“Masalahnya, kenapa waktu itu pihak cabang tidak bangkitkan isu ini atau membuat bantahan kepada ibu pejabat parti sedangkan mereka ada mesyuarat bulanan yang antaranya akan membincangkan perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut Ismail berkata, JPP bagaimanapun hanya menguruskan proses pemilihan parti menggunakan data keanggotaan yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung (SUA) parti.

“Sekiranya ada keraguan mengenai maklumat keanggotaan, itu adalah urusan anggota yang perlu diselesaikan oleh mereka yang terbabit dengan pejabat SUA,” katanya.

Cabang Julau mencetuskan kontroversi selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya dari 603 kepada 13,000 ahli pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Pemilihan di Sarawak yang akan berlangsung Sabtu ini membabitkan 29 cabang dengan tumpuan akan diberikan di Cabang Julau dan Lubok Antu.

982 dibaca
Berita Harian X