Jumaat, 9 November 2018 | 2:51pm
PENYELARAS PKR Sabah, Rosli Masaliku.

Jamin pemilihan semula 3 cabang di Sabah lancar

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memberi jaminan pemilihan semula parti itu di tiga cabang di negeri ini pada esok dan lusa dapat dijalankan dengan lancar.

Penyelaras PKR Sabah, Rosli Masaliku, berkata berdasarkan arahan terkini Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), esok hanya satu cabang mengadakan pemilihan semula iaitu di Keningau berbanding jadual asal dua cabang termasuk Tawau.

Katanya, Tawau dan Pensiangan akan mengadakan pemilihan serentak pada Ahad, masing-masing di Dewan Badminton Kompleks Sukan Tawau dan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pusat pengundian di Keningau juga tidak berubah iaitu di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau. Kita yakin proses pemilihan semula khususnya di Keningau berjalan lancar berbanding sebelum ini memandangkan kita sudah mengambil langkah keselamatan yang mencukupi.

“Dewan pusat mengundi juga lebih besar berbanding di dewan Kampung Merampong yang digunakan pada Sabtu lalu. Kali ini, kita akan pastikan tiada pihak cuba menghalang pengundi untuk masuk ke dewan kerana keadaan itulah yang menyebabkan kekecohan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Rosli berkata, pada Sabtu lalu kekecohan berlaku ketika pemilihan cabang Keningau berikutan tindakan segelintir penyokong calon menghalang pengundi yang memakai baju biru memasuki dewan hingga memaksa calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli campur tangan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Rafizi dikasari sebelum dibawa keluar bagi mengelak keadaan menjadi tidak terkawal.

“Bagi pengundian semula esok, kita sudah meminta polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) meningkatkan kawalan supaya pengundian berjalan lancar,” katanya.

Selepas insiden kekecohan di Keningau pada Sabtu lalu, Rafizi membuat laporan polis mendakwa dikasari, manakala proses pengundian difahamkan ditangguhkan.

Di Pensiangan pula, proses pengundian yang dilaporkan berlarutan hingga melebihi tempoh ditetapkan pada Ahad lalu menyebabkan timbul rasa tidak puas hati segelintir ahli PKR kawasan itu hingga ada yang membuat laporan polis.

Difahamkan, di Tawau juga timbul bantahan berhubung pemilihan cabang itu pada Sabtu lalu menyebabkan pihak JPP membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan semula.

145 dibaca
Berita Harian X