Jumaat, 9 November 2018 | 1:20pm
ANGGOTA Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Latheefa desak tangguh pengundian cabang Julau

KUALA LUMPUR: Kelulusan pendaftaran keanggotaan cabang Julau yang disahkan Biro Politik PKR jelas cubaan menafikan aduan membabitkan penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan parti itu.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Latheefa Koya, berkata keputusan Biro Politik untuk mengesahkan senarai itu hanya satu percubaan badan pembuat keputusan tertinggi PKR untuk menutup isu kontroversi mengenai keanggotaan di cabang itu.

Katanya, anggota Biro Politik membangkitkan kebimbangan mereka mengenai perkara itu, tetapi ia tetap diluluskan bagi menutup kontroversi berkenaan.

“Jika peningkatan keahlian adalah sah seperti yang didakwa oleh Biro Politik PKR, mengapa masih ramai orang yang tampil membuat aduan menyatakan nama mereka disenaraikan tanpa persetujuan mereka?

“Ini termasuk dakwaan Yang Berhormat (YB) Rolland Duat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan anggota Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang menafikan mereka menyertai PKR.

“Begitu juga tinjauan telefon menunjukkan sekurang-kurangnya 1,310 mangsa yang namanya didaftarkan tanpa persetujuan, manakala nama selebihnya dalam senarai itu tidak dapat dihubungi.

“Ini satu penghinaan terhadap proses pilihan raya jika pengundian terus diadakan di Julau pada Sabtu ini. Justeru, Biro Politik perlu menggantung pengundian di bahagian itu dengan segera,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mewakili Biro Politik bahawa tidak berlaku sebarang perlanggaran keahlian di cabang paling kontroversi, Julau, yang terletak di tengah Sarawak.

Pada 26 Oktober lalu, Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Kedit membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud penyelewengan berhubung status keanggotaan PKR cabang Julau.

Beliau dalam akuan bersumpah (SD) bertarikh 17 Oktober itu, menyatakan rasa kebimbangan berhubung kewujudan anggota palsu di cabang Julau, yang dilaporkan meningkat mendadak daripada hanya 603 pada 26 Jun kepada 13,000 sehari kemudiannya.

Latheefa yang juga calon untuk jawatan MPP pada pemilihan kali ini berkata, jelas sekali daripada kenyataan Biro Politik itu yang mereka tidak membincangkan isu penting mengenai kecurian identiti yang terang-terangan diketahui umum.

Katanya, kenyataan itu jelas menunjukkan mereka mengabaikan bukti penipuan sistematik seperti yang dinyatakan dalam SD Vernon.

“Dalam menjawab aduan yang serius seperti ini, PKR sepatutnya melakukan siasatan menyeluruh. Namun, Biro Politik memutuskan untuk mengesahkan keanggotaan Julau tanpa menjalankan sebarang siasatan terhadap aduan berkenaan.

“Dalam hal ini tidak timbul mengenai aduan perlu dikemukakan ketika waktu bantahan pemilihan parti. Parti tidak boleh menggunakan syarat itu sebagai alasan untuk tidak berbuat apa-apa berhubung penipuan dan penyelewengan yang didedahkan.

“Maka, tidak perlulah Setiausaha Agung PKR terus mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak menerima sebarang bantahan yang menyebabkan senarai itu (keanggotaan Julau) adalah sah. Kegagalan untuk membantah, walaupun benar, tidak dapat menghalalkan senarai penipuan itu,” katanya.

Beliau yang juga peguam PKR berkata, penafian yang dibuat PKR itu jelas sekali seperti sindrom penafian yang berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam perkembangan yang sama, Latheefa berkata, lebih membimbangkan wujud dua senarai anggota yang berbeza pada keanggotaan cabang Julau iaitu satu bertarikh 27 Jun yang ditandatangani dan disahkan Setiausaha Agung PKR seramai 66 orang manakala senarai kedua pada tarikh yang sama pula menyatakan jumlah keanggotaan meningkat kepada 13,178 orang.

Beliau juga mahu Biro Politik PKR melihat semula senarai keseluruhan keanggotaan PKR di 30 cabang di Sarawak yang dicatatkan seramai 9,691 yang jauh lebih rendah berbanding keanggotaan tunggal yang dicatatkan pada cabang Julau iaitu 13,178 anggota.

“Angka itu sepatutnya sudah menjadi ‘loceng penggera’ kepada Biro Politik untuk menilai senarai berkenaan sebelum meluluskannya kerana ia jelas menunjukkan angka yang tidak munasabah. Pendek kata, kelulusan Biro Politik mengenai keanggotaan Julau jelas sekali menghalalkan penipuan.

“Memandangkan PKR kini menjadi kerajaan, perkara ini bukan lagi sekadar soal hal ehwal parti atau pengurusan parti. Ini adalah persoalan mengenai kepentingan awam. Malah, sesetengah daripada kepemimpinan PKR yang bertanggungjawab meluluskan senarai keanggotaan Julau ini turut memegang jawatan tinggi kerajaan.

“Kelulusan terburu-buru biro politik PKR kes Julau memalukan dan menafikan 20 tahun perjuangan pembaharuan di Malaysia. Ia tidak dapat diterima sama sekali.

Beliau berkata, cara pemilihan PKR kali ini lebih teruk berbanding cara Suruhanjaya Pilihan Raya era BN mengendalikan pilihan raya.

822 dibaca
Berita Harian X