Jumaat, 9 November 2018 | 12:53pm

3 elemen penentu perebutan Timbalan Presiden PKR

KUCHING: Persepsi, pengaruh politik dan imej moral adalah tiga elemen penting dipertaruhkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Pertembungan satu lawan satu antara penyandang jawatan berkenaan yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin dan lawannya, Rafizi, semakin mendebarkan dengan Sarawak menjadi lubuk terakhir menawan undi ahli esok.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman, berkata menang kalah dalam perebutan jawatan berkenaan turut membabitkan persepsi, sokongan ahli parti dan imej moral masing-masing.

“Azmin perlu memperkukuhkan kedudukan beliau dalam parti bagi meraih sokongan dan menentukan hala tuju karier politiknya yang dilihat ‘semakin hampir’ mencapai kedudukan penting dalam Kabinet melalui PKR selama mana Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Sekiranya gagal, ia sedikit sebanyak merencatkan kemaraan beliau ke peringkat lebih tinggi dan pada masa sama berupaya melonggarkan cengkaman yang sedang kukuh pada waktu ini,” katanya kepada NSTP, di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata, pada masa sama, Rafizi juga harus memastikan kemenangan bagi membuka laluan lebih besar terutama melebarkan pengaruhnya dalam PKR.

“Kemenangan ini juga akan dijadikan sebagai merit dan justifikasi kukuh buat Rafizi dalam menyatakan bahawa ahli parti berkehendakkan beliau untuk dibariskan sebagai pemimpin yang bakal mewarisi kepemimpinan PKR dan negara jika PH terus menguasai kerajaan,” katanya.

Katanya, jika dilihat dari segi bilangan pengundi, Sabah sebenarnya lebih berkedudukan untuk menjadi penentu dalam pemilihan ini. Namun, peranan pengundi PKR Sarawak juga tidak boleh dinafikan.

“Jika tidak masakan boleh berlaku tindakan seperti mana yang berlaku di cabang Julau,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 November lalu, melakukan tangkapan ke atas seorang Ketua Cabang yang tidak dinamakan membabitkan pertambahan ahli mendadak di cabang berkenaan susulan laporan dilakukan PKR Sarawak pada 25 Oktober lalu.

Cabang Julau mencetuskan kontroversi hangat pada pemilihan PKR tahun ini, selepas merekodkan pertambahan mendadak anggota baharu sebanyak 13,000 ahli sebelum tarikh akhir penerimaan anggota baharu untuk disahkan.

Cabang Julau sebelum itu hanya mencatatkan jumlah kira-kira 600 ahli sahaja.

Mohd Fadzil ketika mengulas lanjut, berkata walaupun Mohamed Azmin berada dalam kedudukan selesa sebagai anggota Kabinet, namun ia tidak menjamin sokongan ahli memihak kepadanya.

“Bagaimanapun, kelebihan yang ada pada beliau adalah rekod perkhidmatan cemerlang dipamerkan sebagai Menteri Besar Selangor sudah boleh diukur dan dilihat sebagai asas terhadap kewibawaan beliau sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau berkata, Rafizi sebaliknya masih banyak yang perlu ditonjolkan memandangkan beliau belum pernah diuji sebagai pemimpin di peringkat pentadbiran kerajaan.

“Namun, ia tidaklah boleh dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan karier politiknya,” katanya.

1034 dibaca
Berita Harian X