Jumaat, 9 November 2018 | 12:19pm
JOHARI kekal positif dalam perebutan jawatan Naib Presiden PKR walaupun dilihat bakal tewas. - NSTP/Salhani Ibrahim

Johari optimis menang Naib Presiden PKR

SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul kekal positif dalam perebutan jawatan Naib Presiden PKR walaupun dilihat bakal tewas.

Johari berkata beliau benar-benar yakin akan menang dan pada masa yang sama turut yakin Rafizi Ramli juga akan memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Peluang saya dalam keadaan biasa... saya yakin boleh menang, paling tidak ada tempat... tetapi dalam pemilihan ini macam-macam boleh terjadi.

“Ada orang guna kedudukan, ada yang guna kewangan. Ada macam-macam kepelbagaian. Kalau ‘straight game’ Insya-Allah saya lepas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jawatan Naib Presiden hanya menyediakan empat slot dan Nurul Izzah Anwar ketika ini meninggalkan jauh 12 pencabarnya.

Keputusan setakat ini menyaksikan di belakang Nurul Izzah, ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Johari berkata, sekiranya beliau mendapat tempat dalam jawatan Naib Presiden PKR, pastinya juga Rafizi akan menang.

“Saya yakin 100 peratus Rafizi akan menang jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Peluang masih terbuka dan luas. Masih banyak lagi cabang yang belum mengadakan pemilihan,” katanya.

Sementara itu, Johari juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan pemilihan kali ini dan berharap kelemahan yang ada dapat diperbaiki pada pemilihan akan datang.

“Hampir semua pengawas yang bertugas hanya datang dari satu negeri sahaja iaitu Selangor... kenapa tidak negeri lain? Jadi ia menimbulkan perasaan curiga.

“Pemilihan tempat pula dipilih ketua cabang kerana ada tempat tidak sesuai... sepatutnya JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) yang tentukan kerana mereka mempunyai kuasa,” katanya.

Beliau juga berharap sistem e-undi juga dikaji semula dan ditambah baik kerana banyak menimbulkan masalah sepanjang pemilihan kali ini.

653 dibaca
Berita Harian X