Khamis, 8 November 2018 | 11:39am
DR Wan Azizah hadir sempena Program Turun Padang ke Institut Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Wan Azizah nafi lawatan ke Julau untuk berkempen

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan lawatannya ke Julau, Sarawak, bertujuan mahu berkempen untuk calon tertentu sempena Pemilihan PKR.

Presiden PKR itu menegaskan, lawatannya langsung tidak ada kena mengena dengan pemilihan parti yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Ahli Parlimen Pandan itu juga menolak dakwaan pihak tertentu bahawa beliau turun padang ke Julau semata-mata mahu berkempen untuk kem Rafizi Ramli.

“Saya tidak terbabit. Saya sebenarnya pergi selepas pemilihan parti. Jadi saya pergilah selepas pemilihan.

“Tetapi kebetulan (Pemilihan PKR di Sarawak) ditangguhkan (sebelum ini Oktober). Saya pergi sana pun ikut jadual, selepas pemilihan... jadi tidak ada isu.

“Sebenarnya, saya tidak berkempen (untuk sesiapa). Saya pun tak tanding. Saya pergi kawasan itu (Julau) sebab ia tempat terbaik yang ada kualiti lada terbaik yang dihasilkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, selaku Timbalan Perdana Menteri, beliau perlu memastikan kerajaan menjaga semua negeri termasuk di Sarawak supaya tidak berlaku diskrimimasi.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang mempersoalkan lawatan Dr Wan Azizah ke Julau, Sarawak menjelang pemilihan negeri, hujung minggu ini.

Latheefa menggelarkan lawatan Presiden PKR itu sebagai tidak wajar.

Latheefa berkata Dr Wan Azizah dilihat bersama dan bergambar Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang didakwa menyebelahi kem Rafizi selaku calon timbalan presiden.

860 dibaca
Berita Harian X