Rabu, 7 November 2018 | 4:12pm
HANIZA Talha. NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

'JPP tidak perlu campur tangan'

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pemilihan PKR 2018 diingatkan tidak menyebelahi mana-mana calon jika mahukan keputusan pemilihan yang adil dan bersih.

Calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha, berkata terdapat banyak kes pemilihan semula di beberapa cabang yang dipercayai membabitkan campur tangan JPP dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“JPP sepatutnya bertindak sebagai badan bebas dan tidak berniat mempengaruhi sebarang keputusan pemilihan melalui sokongan kepada mana-mana calon. Kita curiga mengapa ada beberapa cabang yang dilakukan pemilihan semula? Adakah terdapat pengaruh JPP untuk keputusan ini?,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu menjangkakan bakal timbul kontroversi ketika pemilihan di Sarawak hujung minggu ini berhubung kenaikan mendadak jumlah keahlian PKR Cabang Julau dari 603 kepada 13,000 ahli dalam masa singkat.

“Pendaftaran 13,000 ahli dalam masa singkat adalah tidak masuk akal dan sudah pasti JPP sedar mengenai kes ini pada awalnya. Bagaimana JPP boleh membenarkan perkara ini terjadi? Terlalu banyak unsur curiga yang ketara yang sepatutnya boleh dibendung lebih awal jika JPP memainkan peranan dengan jujur,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya memenangi undi di Sarawak hujung minggu ini, Haniza hanya mengharapkan pemilihan yang adil dapat dijalankan supaya pemimpin yang sebenar dapat dipilih.

Haniza yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor mendahului sebanyak 4,517 undi dengan memperoleh 24,179 undi sekali gus meninggalkan pesaingnya Fuziah Salleh yang hanya memperoleh 19,662 undi.

Dalam pada itu, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin yakin anggota parti itu akan memberi sokongan kepada pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan peringkat Sarawak yang akan berlangsung 10 November ini.

“Saya yakin sokongan dari Sarawak akan memihak kepada kem Datuk Seri (Mohamed) Azmin kerana rangkaian sedia ada di negeri berkenaan mampu memberi kemenangan yang diharapkan.

“Setakat ini, sokongan dari Sarawak nampak positif dan saya berharap kita dapat menyelesaikan isu mobilisasi supaya ramai anggota dapat keluar mengundi,” katanya.

558 dibaca
Berita Harian X