Rabu, 7 November 2018 | 3:28pm
SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub

'Hebat bersuara di media sosial tidak jadikan Pemuda UMNO hebat'

SHAH ALAM: Veteran UMNO menegur sikap Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang lebih gemar menggunakan media sosial untuk menyuarakan pandangan terhadap kepemimpinan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub turut mengingatkan kepemimpinan pemuda UMNO bahawa kelantangan bersuara di media sosial bukan cara untuk menjadikan pergerakan itu hebat serta digeruni.

“Ya, benar sejarah menunjukkan ketika pemuda UMNO dipimpin Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar begitu agresif serta lantang bersuara sehingga dianggap menjadi pembangkang kepada parti sendiri.

“Namun, sebarang percanggahan pendapat, mereka (Harun dan Syed Jaafar) bawa bincang dalam forum tertutup atau pun mesyuarat parti. Mereka bukan menyerang parti secara terbuka.

“Mungkin Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi) fikir ini cara untuk kembalikan taring UMNO, tetapi beliau silap. Jika ingin tonjolkan kehebatan Pemuda, banyak cara lain boleh dibuat,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Sebelum ini Asyraf Wajdi menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat buat seketika bagi memberi peluang kepada Presiden parti itu yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan berundur serta akan terus mengemudi UMNO bersama barisan kepemimpinan yang ada sekarang ini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa UMNO menyekat kebebasan bersuara dalam kalangan pemimpinnya adalah mengarut kerana parti ini mengamalkan keterbukaan sejak dahulu lagi.

“Cuma dalam isu Ketua Pemuda ini, beliau sepatutnya tidak memanggil media (sidang akhbar) untuk menyatakan pendirian Pemuda terhadap Presiden parti.

“Sepatutnya, sebarang keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Pemuda, Ketua Pemudanya kena bawa ke dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi), bukannya memanggil media,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada tindakan Ahmad Zahid mengadakan siri jelajah ke semua negeri bertujuan mencari sokongan, beliau menafikan dakwaan itu.

“Presiden parti buat jelajah untuk bagi menerangkan hala tuju parti serta memberi penerangan mengenai isu semasa.

“Kalau cakap Presiden parti cuba cari sokongan untuk diri sendiri, ia tidak betul. Presiden parti cuba kembalikan sokongan rakyat kepada UMNO, bukan untuk dirinya,” kata.

1539 dibaca
Berita Harian X