Selasa, 6 November 2018 | 3:23pm
DR Datuk Seri Wan Azizah menghadiri Taklimat Hal Ehwal Pembangunan Parlimen Julau dan Lembaga Lada Malaysia di Pejabat Daerah Julau, Julau, Sarikei. - NSTP/Harun Yahya

Tiada 'sindrom penafian' dalam PKR

JULAU: Tidak wujud ‘sindrom penafian’ dalam PKR berhubung sebarang isu dalaman membabitkan parti itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata setiap masalah dalaman pasti diambil maklum oleh kepemimpinan parti supaya dapat diselesaikan.

“Dalam PKR, memang kita tidak ada sindrom penafian. Kalau ada sesuatu (masalah atau isu) pasti kita tahu (untuk perbincangan dan penyelesaian),” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Rengayan Anak Ngumbang di Nanga Ruyak, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien merangkap Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang juga calon Ketua Cabang PKR Julau dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan parti itu, Sabtu ini.

Isu itu timbul selepas wujud kecurigaan berhubung jumlah keahlian PKR Cabang Julau yang meningkat secara mendadak daripada 603 kepada 13,000 ahli dalam tempoh sehari pada 27 Jun lalu.

Masalah itu menimbulkan rasa curiga pemimpin PKR Sarawak yang kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana khuatir berlaku salah guna kuasa dalam parti itu.

Dr Wan Azizah berkata, kepemimpinan parti itu sudah mendapatkan penerangan daripada SPRM mengenai asas laporan yang dibuat beberapa pihak dalam parti itu.

“Kita sudah mendapatkan penjelasan daripada SPRM mengenai perkara itu dan sudahpun dilepaskan (merujuk pemimpin PKR Julau yang ditahan SPRM sebelum ini).

“Biarlah persaingan ini berlaku secara adil dan sihat,” katanya.

Menurutnya, proses pemilihan PKR Cabang Julau akan tetap diteruskan seperti yang sudah ditetapkan sebelum ini.

“Kita akan patuh dengan jadual yang sudah ditetapkan dan mahu pemilihan secara sihat dan adil,” katanya.

Cabang Julau berkemungkinan menjadi penentu kepada calon Timbalan Presiden PKR sama ada memilih Rafizi Ramli atau Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, namun Wei Shien secara terbuka mengumumkan berada di kem Rafizi.

247 dibaca
Berita Harian X