Rabu, 31 Oktober 2018 | 6:34pm
TIMBALAN Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Amran Hamid

Majoriti ahli BERSATU tolak Nazri - Mukhriz

ALOR SETAR: Keputusan tidak akan menerima Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibuat berikutan pelbagai tindakan termasuk kenyataan yang melampaui batas.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata mana-mana individu yang mahu menyertai BERSATU perlu dinilai terlebih dahulu termasuk memastikan langkah itu tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Kedah itu berkata, pihaknya boleh menerima sesiapa sahaja menyertai BERSATU, tetapi jika ia memberi kesan negatif kepada parti maka tidak perlulah seseorang itu diterima.

“Ramai sahaja pemimpin UMNO yang neutral dan tidak pernah berkata apapun maka sudah pastinya BERSATU boleh mempertimbangkan seperti penyertaan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Bagaimanapun bagi Ahli Parlimen Padang Rengas itu, dia sudah banyak kali mengeluarkan kenyataan yang melampaui batas malah majoriti ahli kami menolak beliau. Maka menjadi satu kesilapan jika dia diambil sertai kita.

“Jika sudah terang menyusahkan rakyat, cuba bayangkan orang sebegini diterima parti... ini sudah melampau seperti sudah tiada pertimbangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adakah Mohamed Nazri tidak dibenarkan menyertai BERSATU kerana menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NSTP sebelum ini melaporkan Mukhriz menyatakan Ahli Parlimen UMNO dari Parlimen Pekan, Bagan Datuk, Baling dan Padang Rengas adalah antara yang tidak akan dipertimbangkan sama sekali untuk dibenarkan menyertai BERSATU, jika mereka mempunyai hasrat menyertai parti itu.

“Kita tidaklah terlalu terbuka sehingga individu seperti Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Mohamed Nazri nak masuk.. itu tak bolehlah dan tak payahlah… kerana mereka ini dalam senarai yang tidak akan kami pertimbangkan (untuk sertai BERSATU),” katanya.

205 dibaca
Berita Harian X