Selasa, 30 Oktober 2018 | 9:02pm
TIMBALAN Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Amran Hamid

'Boleh masuk BERSATU tapi...'

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak memiliki agenda tersembunyi dalam menerima Ahli Parlimen UMNO yang berhasrat menyertai parti itu.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata langkah itu selari dengan amalan demokrasi.

“Tiada undang-undang yang menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk tukar parti.

“Kalau ada yang berminat mahu tukar, kita perlu benarkan dan tidak boleh tolak permohonan mereka.

“Bagaimanapun, ada syarat tertentu perlu dipenuhi sebelum permohonan masuk boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada ada Ahli Parlimen UMNO menyuarakan hasrat melompat parti.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah merangkap Ahli Parlimen Jerlun berkata, saringan akan dibuat bagi memastikan tiada ahli masuk dan keluar parti sesuka hati.

Katanya, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang menyertai BERSATU baru-baru ini adalah berbeza.

“Tok Pa (Mustapa) dikenali dan kita sentiasa mengalu-alukannya untuk menyertai parti, namun kita perlu tapis dan periksa latar belakang yang lain.

“Ada segelintir pemimpin atasan yang permintaannya tidak akan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz turut menyuarakan kekeliruan berhubung tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazir Aziz, mempelawanya untuk kembali ke pangkuan UMNO sebagai jaminan perlindungan masa depan.

“Buat apa nak risau pasal masa depan saya? Sepatutnya beliau (Nazri) patut risaukan masa depannya sebab berada di pihak yang salah,” katanya.

140 dibaca
Berita Harian X