Selasa, 30 Oktober 2018 | 3:56pm
PENGERUSI BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor. - Foto Zaman Huri Isa

Beberapa MP UMNO Kelantan dijangka sertai BERSATU

KOTA BHARU: Beberapa Ahli Parlimen dari Kelantan dijangka menyertai Parti Pribumi Besatu Malaysia (BERSATU) selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata beberapa nama itu sudah ada, namun tidak akan diumumkan buat masa ini.

“Kita tunggu dan lihat. Jika pemimpin terbabit masuk BERSATU, kita akan adakan majlis.

“Mereka ini (pemimpin) akan memperkuat dan mengukuhkan lagi parti terutama di Kelantan apabila sudah ada wakil kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung 40 Ahli Parlimen UMNO yang dijangka sertai BERSATU yang diumumkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, pada Sabtu lalu.

Kamaruddin berkata, Ahli Parlimen yang menyertai BERSATU itu bukan terpengaruh dengan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebaliknya mereka bertindak sendirian.

“Pemimpin yang bakal menyertai parti (BERSATU) ini tiada sangkut paut dengan Tok Pa dan mereka bersendirian.

“Penyertaan pemimpin ini akan dapat menarik lebih ramai pengikut seterusnya menjadikan parti lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini agenda BERSATU Kelantan mahu memperkukuhkan parti dan tiada agenda untuk pembahagian jawatan kepada pemimpin berkenaan.

706 dibaca
Berita Harian X