Selasa, 30 Oktober 2018 | 3:06pm

SPRM perlu siasat dakwaan MyPPP terima RM36 juta wang 1MDB

PUTRAJAYA: Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan Tan Sri M Kayveas bahawa RM36 juta diberikan kepada parti itu, tahun ini.

Jurucakap MyPPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan, berkata siasatan segera perlu dilakukan kerana Kayveas juga mendakwa wang yang diterima MyPPP itu berkait dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pihaknya juga mendesak Kayveas mendedahkan nama enam individu yang juga bekas ahli MyPPP yang dikatakan menerima wang berkenaan dan jumlah sebenar yang diterima mereka kerana semua ahli parti berhak tahu mengenai perkara itu.

“Saya bersama kepemimpinan Majlis Tertinggi parti hari ini membuat laporan kepada SPRM berhubung kenyataan Kayveas yang dilaporkan sebuah portal, mengenai dakwaan MyPPP menerima dana RM36 juta yang berkait dengan 1MDB.

“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi membolehkan perkara sebenar dibongkar dan kebetulan pula SPRM juga sedang menyiasat kes 1MDB ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di sini, hari ini.

Ketika ini, MyPPP berpecah kepada dua kepimpinan iaitu di bawah Presiden, Datuk Seri Maglin D’Cruz yang dipilih selepas perhimpunan agung tahunan (AGM) parti itu pada 26 Mei lalu selain Kayveas yang mengaku bahawa beliau masih presiden yang sah.

Pada 18 Oktober lalu, Kayveas dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan oleh UMNO kepada MyPPP ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Loga Bala yang kini memegang jawatan Naib Presiden Kanan MyPPP berkata, selain membuat aduan kepada SPRM, pihaknya juga membuat sembilan laporan polis berhubung dakwaan yang dibuat oleh Kayveas.

“Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sumber dana yang disebut oleh Kayveas ini yang dipercayai dijadikan sebagai langkah terdesak beliau untuk mengalihkan siasatan SPRM atas dirinya sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda MyPPP juga membuat dua laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 19 Oktober lalu terhadap dakwaan terhadap Kayveas yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mesej yang tersebar itu mendakwa Kayveas melakukan penyelewengan dan menyalahgunakan dana untuk membeli aset di dalam serta luar negara.

29 dibaca
JURUCAKAP MyPPP, Datuk Dr Loga Bala Moha ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X