Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:12pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika sidang media pada Launch of Joint Publication by CARI and LSE Ideas di Menara CIMB, Jalan Sentral 2, KL Sentral. - Foto Aswadi Alias

Azmin nafi mahu sertai BERSATU jika tewas pemilihan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau akan menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika tewas pada pemilihan PKR.

Timbalan Presiden PKR itu yang mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti berkata, perkara itu hanyalah khabar angin.

“Itu tidak betul, ” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Laporan Bersama Inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) dan Asia Tenggara kajian Institut Penyelidikan CIMB Asean dengan LSE Ideas dan Siri Perbincangan Meja Bulat Asean di Menara CIMB di sini, hari ini.

Azmin berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan beliau akan menyertai BERSATU jika gagal mempertahankan jawatannya itu.

Beberapa portal berita menyatakan Azmin mungkin menyertai BERSATU jika tewas kepada lawannya yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu menyaksikan Mohamed Azmin kini hanya mendahului 812 undi berbanding Rafizi.

Pemilihan parti itu dijangka selesai bulan depan apabila pengundian dijalankan di Sabah pada 3 dan 4 November manakala di Sarawak pada 10 November dan tujuh cabang lain masing-masing satu di Selangor dan Negeri Sembilan serta lima cabang di Melaka yang bermasalah akan mengadakan pengundian semula pada 11 November ini.

Sementara itu, ditanya pendirian PKR berhubung kemungkinan lebih ramai Ahli Parlimen UMNO menyertai BERSATU bukannya PKR, Azmin berkata parti itu mengalu-alukan kemasukan mana-mana Ahli Parlimen UMNO ke Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau tidak kisah parti mana yang menjadi pilihan Ahli Parlimen itu asalkan mereka meninggalkan UMNO dan menyertai PH.

“Pendirian kami jelas untuk meraikan Ahli Parlimen yang sudah mengakui bahawa masa depan negara dan dasar PH adalah sesuatu yang bertanggungjawab membawa aspirasi rakyat.

“Sekiranya mana-mana Ahli Parlimen UMNO mengakui keberkesanan kejayaan PH, mereka perlu meninggalkan UMNO sebelum menyertai PH.

“Saya percaya Ahli Parlimen UMNO itu mengakui walaupun dalam masa yang singkat, kami di PH komited menjalankan reformasi dan menyelamatkan ekonomi negara serta rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, terpulang kepada Ahli Parlimen UMNO memilih parti yang mereka mahu sertai di dalam PH.

“Itu terpulang kepada individu, yang penting mereka tinggalkan dan menolak agenda UMNO serta menerima agenda reformasi PH kerana agenda kami membabitkan semua agenda parti dalam PH.

“Mereka boleh memilih sama ada BERSATU atau parti lain yang mereka rasakan boleh untuk mereka meneruskan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen...asalkan dalam PH.

“Saya yakin lebih ramai pemimpin UMNO yang dapat membuat perbezaan antara dasar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan dasar PH, maka wajarlah mereka meninggalkan UMNO untuk terus bersama PH bagi terus membangunkan negara serta memulih ekonomi,” katanya.

168 dibaca
Berita Harian X