Isnin, 29 Oktober 2018 | 1:16pm

Keputusan Tok Pa tukar parti tak beri kesan politik Kelantan

PUTRAJAYA: Datuk Ibrahim Ali menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan mengubah senario politik di Kelantan.

Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) itu berkata, beliau juga menjangkakan bahawa Mustapa adalah individu terakhir yang keluar UMNO selepas parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya terkejut dengan keputusan Tok Pa untuk sertai BERSATU, semua orang kenal dia, sebab dia sudah lama dalam UMNO, lagi satu ramai ingat dia bersih, tetapi bila dia lompat parti, maka adalah sebaliknya.

“Kemasukan beliau ke BERSATU tidak memberi kesan kepada politik Kelantan, kerana sepanjang dia mengetuai UMNO di negeri itu, kerusi UMNO tidak pernah bertambah, tetapi terus sedikit," katanya pada sidang media selepas hadir ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini hari ini.

Mustapa atau mesra disapa Tok Pa mengumumkan keluar UMNO pada 18 September lalu, dan menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas pengumuman itu.

Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Petaling Jaya.

Sementara itu, Ibrahim memaklumkan, pihaknya yakin ROS akan meluluskan pendaftaran PUTRA selewat-lewatnya hujung November ini.

Katanya, beberapa perkara termasuk soal pelembagaan PUTRA sedang diperhalusi kedua-dua bagi memastikan pendaftaran parti itu berjalan lancar.

"Masa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), pendaftaran BERSATU hanya mengambil masa sebulan, maka sudah tentu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kena awal lagi," katanya.

96 dibaca
Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali mengadakan sidang akhbar selepas bertemu Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim bagi membincangkan pendaftaran parti itu di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X