Isnin, 29 Oktober 2018 | 1:02pm
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata kemasukan Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabtu lalu, bukan satu kehilangan besar kepada UMNO Kelantan, ketika menjawab pertanyaan wartawan selepas Sidang Dewan di Kompleks Darul Naim. - Foto Fathil Asri

Tok Pa bukan kehilangan besar kepada UMMO - Md Alwi

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menyifatkan kemasukan Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabtu lalu, bukan satu kehilangan besar kepada mereka.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas itu perlu dilihat sebagai isu politik.

“Dalam politik, kita tiada permusuhan sebaliknya yang ada hanya perbezaan pendapat. Dia (Mustapa) pilih untuk pergi, itu pilihan beliau.

“Kita tidak setuju, rasa kecil hati dan kecewa dengan tindakannya, itu rasa diri kita. Namun beliau (Mustapa) mungkin ada jawapan tersendiri dengan menyertai BERSATU.

“Kita memberi gambaran seolah-olah Datuk Seri Mustapa Mohamed seorang ikon dan segala-galanya, sebenarnya dia bukan... Ku sangkakan permata, rupanya kaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan penyertaan beliau ke BERSATU, selepas hampir sebulan meninggalkan UMNO.

Mengulas lanjut, Md Alwi yang juga ketua pembangkang DUN Kelantan, berkata sehingga kini Mustapa sudah tiga kali berpindah iaitu daripada UMNO kepada Bebas dan bertukar kepada BERSATU.

“Dulu kita pernah hanya ada dua kerusi di Kelantan sehingga naik kepada enam, 12 dan kembali kepada lapan. Itu perkara biasa.

“Namun saya kecewa dia (Mustapa) tidak hadir hari ini dan jika beliau hadir, kita mungkin boleh bertanya. Apa yang pasti benda yang lepas, biarkan ia berlalu,” katanya.

Sementara itu, Mustapa yang menjadi wakil tunggal Kerajaan Pusat di Kelantan tidak hadir pada persidangan DUN hari ini.

Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu difahamkan tidak dapat mengikuti persidangan itu susulan ada urusan penting di Kuala Lumpur.

50 dibaca
Berita Harian X