Ahad, 28 Oktober 2018 | 2:29pm
GAMBAR fail, Ahli Parlimen Bebas, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Mas Ermieyati mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas

MELAKA: Ahli Parlimen Bebas, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berpendirian tegas mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas tanpa menyertai mana-mana parti politik.

Beliau berkata, lebih selesa bergerak secara bebas bagi meneruskan khidmat bakti kepada rakyat malah tidak berhasrat untuk mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), semalam.

“Setakat ini, saya (Ahli Parlimen) Bebas dan tidak ada hasrat atau membuat keputusan untuk sertai mana-mana parti.

“Itu (Mustapa sertai BERSATU) tidak menghalang untuk saya (Bebas) terus berkhidmat di kawasan saya (Masjid Tanah) seperti biasa,” katanya, ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Pada 18 September lalu, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Keputusan itu katanya, susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya, sebelum menyerahkan borang keahlian BERSATU kepada Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis, di Petaling Jaya, Sabtu lalu.

379 dibaca
Berita Harian X