Sabtu, 27 Oktober 2018 | 7:11pm
LANGKAH Mustapa menyertai BERSATU bakal mengukuhkan lagi parti itu. - Arkin NSTP

Tok Pa perkukuh BERSATU

ALOR SETAR: Langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal mengukuhkan lagi parti itu dalam merangka hala tuju yang lebih cerah.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu adalah aset yang kini menambah jumlah kerusi Parlimen BERSATU kepada 14.

“Saya sangat mengalukan penyertaan beliau... beliau adalah bos saya ketika menjawat jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dahulu. Beliau menunjukkan prestasi sangat cemerlang ketika menjawat jawatan menteri.

“Kehadiran beliau memberi semangat kepada kami dan saya begitu seronok menyaksikan kehadirannya dan menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau dalam pelbagai aspek untuk memperkukuhkan parti,” katanya.

Mustapa atau mesra disapa Tok Pa mengumumkan keluar UMNO pada 18 September lalu, dan menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas pengumuman itu.

Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata pimpinan BERSATU ketika ini belum berbincang untuk menyerahkan sebarang jawatan kepada Mustapa.

Ketika ditanya adakah terdapat kepemimpinan tertinggi UMNO lain akan menyertai BERSATU, Mukhriz meminta semua pihak menunggu dan lihat.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah menghadiri AOR Festival di Dataran Balai Besar di sini, petang tadi.

284 dibaca
Berita Harian X