Sabtu, 27 Oktober 2018 | 5:59pm
MARZUKI beramah mesra dengan sebahagian ahli BERSATU pada Persidangan Tahunan BERSATU Bahagian Tanah Merah di Tanah Merah. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kakitangan tidak cekap antara punca sukar daftar ahli BERSATU

KUALA LUMPUR: Kakitangan tidak cekap dan kelemahan sistem pendaftaran dalam talian antara punca orang ramai sukar mendaftar sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata apabila proses pendaftaran dibelenggu masalah, ia memberi kesan ketara terhadap peningkatan jumlah keahlian.

Beliau berkata, ini kerana banyak borang sama ada yang diisi melalui kaedah manual atau dalam talian, hilang dan tidak sampai kepada pihak pengurusan dan pentadbiran parti.

“Ramai tak boleh menyertai BERSATU sebab ada yang kata sudah hantar borang awal tahun lalu dan tahun ini tetapi nama tiada dalam sistem. Kita lihat mungkin ada keciciran dan ada orang kita yang tidak masukkan data.

“Banyak (borang keahlian hilang). Sekarang ini orang yang ambil borang secara manual) mereka tidak pulangkan balik pun ada. Jadi, sekarang ini banyak yang nak jadi ahli (bila kita) minta borang pun tiada,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menambah baik sistem pendaftaran ahli bagi memudahkan sesiapa saja menyertai parti itu.

Ia berikutan, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata, terdapat banyak perkara berbangkit yang timbul membabitkan sistem keahlian parti.

Mengulas pertanyaan adakah terdapat unsur sabotaj terhadap sistem pendaftaran keahlian BERSATU, Marzuki menafikan perkara itu tidak berlaku.

Beliau menjelaskan, kebiasaannya, apabila terlalu ramai yang mahu mendaftar sebagai ahli BERSATU melalui laman sesawang www.pribumibersatu.org.my, situasi itu boleh menyebabkan sistem berkenaan mengalami masalah.

“Biasalah parti baharu. Apa-apa pun kita akan cuba cari penyelesaian untuk memudahkan pendaftaran dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Proses mendaftar sebagai ahli BERSATU:

1. Layari laman sesawang www.pribumibersatu.org.my

2. Tekan daftar ahli

3. Pilih jenis keahlian (ahli biasa/ahli biasa seumur hidup/ahli bersekutu/ahli bersekutu seumur hidup)

4. Isi maklumat peribadi

5. Buat pembayaran secara dalam talian

6. Selesai (info pengesahan keahlian dihantar ke emel)

73 dibaca
Berita Harian X