Sabtu, 27 Oktober 2018 | 4:47pm
PENYERTAAN Mustapa dalam ‘keluarga’ BERSATU bukan sekadar agenda untuk meningkatkan pegangan kerusi di Parlimen. - Arkib NSTP

Tok Pa bukan hanya penambah kerusi - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Penyertaan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam ‘keluarga’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan sekadar agenda untuk meningkatkan pegangan kerusi di Parlimen.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman, menyifatkan percaturan pemimpin otai bekas UMNO itu seiring matlamat parti untuk merekrut lebih ramai ahli dalam kalangan tokoh berwibawa.

“Saya amat hormati Tok Pa (Mustapa), malah beliau dikenali ramai sebagai antara pemimpin teknokrat yang sangat merendah diri.

“Bab 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kita memang amat berbeza pendapat dan percanggahan itu sangat ketara, tetapi ia tidak bermakna semua perkara baik mengenainya (Mustapa) harus ditolak tepi.

“Penyertaan Tok Pa bukan hanya memberi nilai tambah kepada BERSATU dan dilihat sekadar meningkatkan pegangan kerusi (di Parlimen) saja, sebaliknya ia lebih besar daripada itu.

“Kita nak tokoh untuk menyertai BERSATU supaya akhirnya dapat merencanakan parti yang berupaya memperjuangkan masa depan pribumi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya menerusi pendekatan agak sederhana serta progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Forum Ekonomi Belia (YEF) 2018, yang berlangsung di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.


SYED Saddiq menyampaikan ucapan pada Forum Ekonomi Belia 2018 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, zaman ketika ini bukan berkisar kepada ketuanan Melayu lagi, sebaliknya memasuki fasa baharu dengan mengutamakan aspek pembahagian kekayaan secara saksama.

“Kita bincangkan dengan PM (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa kini) bukan lagi masa kita hunus dan cium keris, jerit hidup Melayu, tapi dalam masa sama, ekuiti Melayu menurun saban tahun.

“Sebaliknya kita perlu pastikan bahawa latihan sewajarnya diberikan kepada mereka (Melayu), selain mewujudkan peluang sama kerana kesaksamaan penting sebagai penentu jalan penyelesaian.

“Kita tidak boleh tengok ketuanan Melayu saja, sehingga ada bangsa lain yang dipinggirkan kerana keutamaan sekarang ialah menekankan konsep kesaksamaan bersama,” katanya.

151 dibaca
Berita Harian X