Sabtu, 20 Oktober 2018 | 5:53pm
RAIS Yatim pada Jamuan Alumni Institut Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

Sertai BERSATU bukan untuk jawatan - Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan menggalakkan pemimpin muda dan veteran UMNO menyertai parti itu dengan syarat tidak mengejar jawatan dan meninggalkan rasuah.

Ketua Badan BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, semua nilai-nilai negatif itu perlu ditinggalkan sekiranya mahu menyertai parti kerajaan hari ini.

“Saya galakkan rakan-rakan dari UMNO masuk BERSATU tapi kelakuan dan nilai rasuah perlu ditinggalkan kemudian bila masuk tidak mahu jawatan.

“Ada juga yang nak masuk tu dia tanya, kalau saya masuk (bagi) jawatan apa? Tak bolehlah begitu, dia kena masuklah dulu berjuanglah bersama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Alumni Institut Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) di Lembah Pantai di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Pengarah IPGKBM, Dr Maridah Alias dan Timbalannya Dr Mohamad Isa Azis.

Mengulas mengenai keahlian baharu BERSATU di Negeri Sembilan yang sebelum ini dibubarkan kerana masalah dalaman dan melanggar perlembagaan parti, Rais berkata sebarang perkembangan akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Saya tak boleh umum begitu sebab perlu menjaga keharmonian perjuangan, jadi ada harakatnya di mana kita boleh umum.

“Esok misalnya, saya (akan) jumpa dua bahagian iaitu Rembau dan Port Dickson di Seremban. Petang ini pun saya jumpa lagi.

“Saya baru dilantik tiga minggu (sebagai ketua), kami bermatlamat ahli di Negeri Sembilan akan genap (lapan bahagian) jadi bila kegenapan itu dicapai saya akan umumlah,” katanya.

Rabu lalu, Rais mendedahkan ramai pemimpin UMNO Negeri Sembilan termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat, memohon menyertai BERSATU.

Beliau berkata, permohonan sebahagian pemimpin terbabit termasuk Yunus sudah diterima, manakala selebihnya sedang melalui proses tapisan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan parti.

141 dibaca
Berita Harian X