Isnin, 15 Oktober 2018 | 1:38pm
RAMESH Arumugam Chettiar bergambar bersama masyarakat Orang Asli di Port Dickson. - Foto NSTP

Sokongan 100 peratus bukti Orang Asli harap perubahan

PORT DICKSON: Sokongan padu pengundi Orang Asli yang menyumbang kepada kemenangan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober lalu membuktikan mereka mahukan perubahan besar untuk masyarakat itu.

Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar berkata, kemenangan Anwar itu adalah gambaran keyakinan masyarakat Orang Asli di Port Dickson terhadap keupayaan Ketua Umum PKR membawa perubahan.

Beliau berkata, bukan sahaja masyarakat Cina dan India yang memberi sokongan kepada Anwar pada PRK Port Dickson, malah sokongan 100 peratus Orang Asli membuktikan mereka mengharapkan satu sinar baharu untuk kelompok kecil Orang Asli di seluruh negara ini.

“Kemenangan besar Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK Parlimen Port Dickson adalah ditakdirkan. Sokongan bukan sahaja daripada pengundi Melayu, Cina dan India, tetapi mendapat sokongan 100 peratus daripada pengundi Orang Asli,” katanya.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih dengan kesanggupan Anwar untuk menerima bahawa masyarakat Orang Asli juga golongan rakyat yang telah memenangkan beliau dengan majoriti besar.

“Masyarakat Orang Asli sentiasa menyokong kerajaan dan mereka juga berharap Ahli Parlimen baharu yang dipilih dapat membantu mereka.

“Adalah menjadi harapan masyarakat Orang Asli supaya beliau (Anwar) berikhtiar menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat itu di Malaysia,” katanya.

Port Dickson mempunyai dua perkampungan Orang Asli iaitu di Bukit Kepong dan Sunggala dengan penduduk di kedua-dua kawasan itu berjumlah 265 orang dan daripada jumlah itu, 110 adalah pengundi.

Sabtu lalu, Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi. Beliau memperoleh 31,016 undi daripada 172 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 9.15 malam.

Anwar menewaskan enam pencabarnya iaitu calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar yang memperoleh 7,456 undi.

Calon lain, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 112 undi, Stevie Chan Keng Leong (337 undi), Lau Seck Yan (243 undi) dan Kan Chee Yuen, 180 undi.

Hari ini, Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Majlis pada jam 10 pagi itu dimaklumkan turut dihadiri hampir 600 penyokong Anwar yang menyaksikan perjalanan detik bersejarah berkenaan menerusi siaran langsung di luar dewan.

46 dibaca
Berita Harian X