Ahad, 14 Oktober 2018 | 5:51pm
PENGANALISIS politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani. - Foto Faiz Anuar

'Anwar perlu berterima kasih kepada Tun M'

KUALA LUMPUR: Sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim antara faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan Ketua Umum PKR itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, semalam.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata kempen bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan juga berjaya menaikkan keyakinan pengundi.

“Apabila Dr Mahathir datang ke Port Dickson dan bantu Anwar berkempen, itu adalah perkara besar kerana Perdana Menteri sangat jarang turun berkempen ketika PRK.

“Jadi, Anwar perlu berterima kasih kepada Dr Mahathir atas sokongan yang diberikan berjaya memberi kesan besar untuk menarik pengundi.

“Selain itu, pengundi bertambah yakin untuk mengundi PKR selepas Anwar beberapa kali dikatakan akan menjadi Perdana Menteri kelapan,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Menurutnya, kemenangan besar Anwar membuktikan tiada pencabar yang kuat selepas Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada bertanding dalam PRK berkenaan.

“Tidak dinafikan pengunduran BN menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah, namun Anwar masih berupaya menang besar,” katanya.

Mohd Azizuddin bagaimanapun sudah membayangkan nasib pesaing Anwar akan kehilangan deposit kecuali Tan Sri Mohd Isa Samad.

“Sejak awal lagi saya tidak faham kenapa terlalu ramai yang ingin bertanding dalam PRK Port Dickson.

“Sedangkan untuk mencabar Anwar, kita hanya perlukan seorang calon yang betul-betul berkaliber. Jadi, apabila ada tujuh calon yang bertanding, undi yang tidak memihak kepada Anwar sudah berpecah,” katanya.

Semalam, Anwar memenangi PRK Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi mengalahkan enam lagi calon termasuk Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, pencabar terdekat Anwar memperoleh 7,456 undi.

Dengan kemenangan itu, Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen esok yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen Ke-14 bersidang.

Berita Harian X