Ahad, 14 Oktober 2018 | 2:45pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada Majlis Makan Tengahari Penghargaan kepada Penderma Tabung Yayasan ECO World di Petaling Jaya, hari Ini. - Foto Sairien Nafis

Kemenangan Anwar unik - Azmin

PETALING JAYA: Kemenangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson semalam disifatkan satu kejayaan unik kerana mendapat sokongan padu daripada semua kaum di kawasan itu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kemenangan itu juga membuktikan rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Port Dickson yang membuktikan kepada rakyat Malaysia, mereka mahu terus bersama mengukuhkan kerajaan PH.

“Ia sekali gus membuktikan rakyat memberikan sokongan kepada kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri,” katanya berucap pada Majlis Makan Tengahari Penghargaan kepada Penderma Tabung Yayasan ECO World di sini, hari Ini .

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan ECO World, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengerusi ECO World Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ECO World Malaysia, Datuk Chang Khim Wah.

Majlis itu diadakan bagi menghargai penderma yang menderma kepada tabung Yayasan ECO World.

Semalam, Anwar memenangi PRK Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi mengalahkan enam lagi calon termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan pembantu peribadi beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, pencabar terdekat Anwar memperoleh 7,456 undi.

Dengan kemenangan itu, Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen esok yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen Ke-14 bersidang.

Sementara itu mengulas pemilihan PKR peringkat Selangor yang berlangsung hari ini, Mohamed Azmin berkata pemilihan parti sedang berlangsung dan beliau menghormati proses itu.

25 dibaca
Berita Harian X