Sabtu, 13 Oktober 2018 | 11:10pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim bercakap dengan media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Port Dickson. - Foto Aswadi Alias
DATUK Seri Anwar Ibrahim berucap meraikan kemenangan selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Port Dickson di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Port Dickson. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

'Saya tidak akan khianati amanah'

PORT DICKSON: Bakal Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan.

Ketua Umum PKR itu berkata, kemenangan diperoleh membuktikan majoriti pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya terharu kerana kemenangan di luar jangkaan ini, dukungan rakyat begitu kuat dan padu daripada pengundi Port Dickson.

“Saya ingin beritahu kepada semua terutama pengundi Port Dickson dan rakan di seluruh negara, saya tidak akan mengkhianati amanah itu,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulungnya di hadapan penyokong dan jentera selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Yang turut hadir, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata, undi popular sebanyak 70 peratus diperolehnya membuktikan penerimaan semua kaum terhadapnya.

“Majoriti orang Melayu di Port Dickson memilih Pakatan Harapan (PH), kaum Cina sekali lagi membuktikan dukungan mereka kepada PH serta kaum India tanpa ragu memilih PH.

“Tentera yang dahulunya tidak memihak kepada kita, undi mereka melonjak 122 peratus. Ini trend yang sangat menyenangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokongnya sepanjang tempoh berkempen.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyokong dan jentera parti yang bekerja keras memastikan kemenangannya.

“Ditakdirkan menjadi Ahli Parlimen, dan Insya-Allah menjadi Perdana Menteri, saya bercita-cita menjadikan negara bebas rasuah, membawa negara ini ke arah yang lebih baik,” katanya.

Berita Harian X