Sabtu, 13 Oktober 2018 | 10:25pm

'Kemenangan luar jangkaan'

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini sebagai di luar jangkaan.

Beliau berkata, kemenangan dengan majoriti 23,560 undi itu cukup mengagumkan dan menandakan beliau mendapat mandat yang besar daripada warga Port Dickson, termasuk kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

"Undi popular kali ini mencecah 75 peratus berbanding yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu sebanyak 48 peratus.

"Undi tentera juga yang dahulu tidak berpihak kepada kita, berubah dengan peningkatan sebanyak 122 peratus, satu peningkatan yang besar," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Port Dickson Pakatan Harapan (PH) di sini, malam ini.

Turut hadir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Isnin ini.

Katanya, beliau juga sudah menghubungi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menyatakan rasa bangga dengan kejayaan ini.

SPR malam ini mengumumkan Anwar menang dengan majoriti 23,560 undi.

Beliau mendapat 31,016 undi, diikuti calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82).

Calon Bebas lain, Stevie Chan mendapat 337 undi, Lau Seck Yan (214), Kan Chee Yuen (154).

28 dibaca
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika meraikan kejayaannya selepas diisytiharkan memenangi PRK Parlimen Port Dickson di Dewan MPPD. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X