Sabtu, 13 Oktober 2018 | 9:50pm

Anwar menang besar

PORT DICKSON: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.

Beliau memperoleh 31,016 undi daripada 172 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 9.15 malam.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor sebentar tadi.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Anwar menewaskan enam pencabarnya iaitu calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, yang memperoleh 7,456 undi.

Calon lain, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi)

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas.


DATUK Seri Anwar Ibrahim memeluk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas diisytiharkan memenangi PRK Port Dickson. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di bilik gerakan meraikan kejayaan selepas diisytiharkan memenangi PRK Port Dickson. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson selepas pengumuman keputusan PRK Port Dickson. - NSTP/Hazreen Mohamad

Dengan kemenangan itu, Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Isnin ini yang juga hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 bersidang.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, kepada wartawan NSTP menerusi WhatsApp, malam ini.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Ia adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat diadakan dalam tempoh lima bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung pada 9 Mei lalu.

Tiga PRK yang diadakan sebelum ini adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu disusuli PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong pada 8 September lalu.

678 dibaca
DATUK Seri Anwar Ibrahim diumum menang PRK Port Dickson dengan 31,016 undi. - NSTP/Hazreen Mohamad
DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama isteri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika tiba di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson bagi menyaksikan keputusan PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Hazreen Mohamad
DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di bilik gerakan meraikan kejayaan selepas diisytiharkan memenangi PRK Port Dickson. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X