Sabtu, 13 Oktober 2018 | 9:18pm
SUASANA di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil Parlimen P132 di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Peratusan keluar mengundi meningkat

PORT DICKSON: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini, mencatat 58.3 peratus, sekali gus lebih tinggi berbanding tiga PRK terdahulu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), malam ini.

Sebelum ini, SPR meletak sasaran 70 peratus pengundi keluar menunaikan kewajipan mereka bagi PRK Port Dickson.

Azhar bagaimanapun berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi itu kerana berlaku peningkatan berbanding PRK di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.

“Kita (SPR) mengambil tindakan proaktif untuk mempromosikan PRK Port Dickson melalui media sosial dan iklan, selain turut bekerjasama dengan Jabatan Penerangan.

“Kita juga menggerakkan unit bergerak bagi mengajak orang ramai keluar mengundi dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses pengundian hari ini,” katanya.

Menyentuh isu mengenai kesalahan pilihan raya yang dibangkitkan pada PRK kali ini, Azhar berkata, pihaknya akan mengkaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada.

Untuk rekod, PRK DUN Sungai Kandis mencatatkan peratusan keluar mengundi 49.9 peratus manakala Balakong (43 peratus) dan Seri Setia (44 peratus).

38 dibaca
Berita Harian X