Sabtu, 13 Oktober 2018 | 7:58pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Aswadi Alias

Keputusan tidak rasmi: Anwar menang

PORT DICKSON: Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh majoriti 21,932 undi melebihi jumlah yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Institut Darul Ehsan (IDE) mendakwa calon Pakatan Harapan (PH) itu memperoleh 28,904 undi diikuti calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, mendapat 6,972 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 3,910 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 87 undi.

Calon Bebas lain, Stevie Chan mendapat 304 undi, Lau Seck Yan (192), Kan Chee Yuen (172).

Setakat jam 7.50 malam, keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di Bilik Gerakan Utama PH menunjukkan sebanyak 40,541 undi sudah dikira.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan jumlah peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 54 peratus setakat jam 4 petang tadi.

Jumlah itu secara tidak langsung menunjukkan peratusan keluar mengundi PRK Port Dickson, tertinggi berbanding tiga PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia selepas PRU-14.

Berita Harian X