Sabtu, 13 Oktober 2018 | 7:49pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika meninjau pusat mengundi PRK yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Anwar selesa mendahului

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus laju mendahului enam pesaingnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di Bilik Gerakan Utama PH, menyaksikan Anwar memperoleh 22,125 undi diikuti calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, mendapat 6,104 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 3,355 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 75 undi.

Calon Bebas lain, Stevie Chan mendapat 243 undi, Lau Seck Yan (152), Kan Chee Yuen (109).

Setakat jam 7.30 malam, keputusan tidak rasmi yang dipaparkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan sebanyak 32,163 undi sudah dikira.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan jumlah peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 54 peratus setakat jam 4 petang tadi.

Jumlah itu secara tidak langsung menunjukkan peratusan keluar mengundi PRK Port Dickson, tertinggi berbanding tiga PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita Harian X