Sabtu, 13 Oktober 2018 | 12:51pm

Isa ceria mengundi bersama anak

PORT DICKSON: “Saya sudah mendahului dengan lima undi,” seloroh calon tempatan tunggal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang bertanding atas tiket Bebas, merujuk kepada undinya sendiri selain empat anaknya yang juga pengundi di kawasan Port Dickson.

Beliau yang berbaju batik putih bercorak jingga, merah serta kuning, tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Linggi di sini, untuk mengundi jam 11.20 pagi tadi dengan ditemani empat anaknya, Mohd Najib, 40; Megawati, 37; Lelawati, 34, dan Juhaida 29.

Ditemui pemberita selepas mengundi, Mohd Isa mengakui beruntung ahli keluarganya boleh mengundi kerana bertanding di tempat sendiri.


Calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bergambar bersama ahli keluarga selepas menunaikan tanggungjawab mengundi sempena PRK Parlimen P132 di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

“Saya nasib baiklah, tapi calon lain tak bernasib baik,” katanya bergurau dalam nada ceria ketika ditemui pemberita di luar kawasan sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh dua minggu berkempen tidak meletihkan kerana sudah biasa melakukan kegiatan itu sepanjang lebih 40 tahun terbabit dalam dunia politik.

“Saya tidur nyenyak malam tadi. Jika saya kalah dalam PRK ini, prestasi saya masih dikira baik kerana hanya tewas sekali sedangkan sembilan kali bertanding sebelum ini semuanya menang.

“Saya belum berfikir sama ada untuk bersara atau tidak (jika kalah).


Calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad beramah mesra bersama pengundi ketika hadir untuk mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

“Dalam politik ini susah nak cakap, kerana tidak tahu apa berlaku di masa depan,” katanya.

Mohd Isa menentang calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar selain empat calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

25 dibaca
Calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir untuk mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson. -Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X