Sabtu, 13 Oktober 2018 | 11:49am

SPR sekarang lebih baik berbanding dulu

KUANTAN: Teguran Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berhubung kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tidak adil.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, berkata beliau dukacita dengan kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu yang banyak mengkritik PH, terutama Anwar.

Katanya, kenyataan dibuat Abdul Rashid satu hari sebelum proses pengundian PRK Port Dickson yang berlangsung hari ini disifatkan janggal, lebih-lebih lagi beliau pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


DATUK Fauzi Abdul Rahman - Foto NSTP/Yazit Razali

“Kenyataan itu menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli PKR terhadap PPBM walaupun saya yakin ia bukan pendirian parti itu, kenyataannya itu kurang matang. Beliau sendiri pernah menjadi Pengerusi SPR.

“Saya terbabit dengan pilihan raya sejak 1955 dan mula aktif pada 1974. Saya rasa keadaan SPR hari ini lebih baik, berbanding ketika beliau menjadi Pengerusi SPR,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini, hari ini.


PENGUNDI beratur untuk menunaikan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson hari ini- foto BERNAMA

Beliau mengulas teguran Abdul Rashid terhadap kegiatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kempen Anwar antaranya kehadiran dua menteri, jamuan makan malam percuma dan kehadiran isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

Abdul Rashid berkata, tidak menjadi kesalahan kehadiran Dr Wan Azizah sebagai isteri dan Presiden PKR, namun memperkenalkannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kurang sesuai.

Berita Harian X