Rabu, 10 Oktober 2018 | 5:28pm
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama orang ramai yang hadir di Kedai Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Orang Asli harap sinar baharu

PORT DICKSON: Masyarakat Orang Asli menaruh harapan tinggi terhadap kerajaan dalam memberi perhatian khusus untuk membela nasib mereka.

Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar, optimis kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bakal membawa sinar baharu kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Katanya, maklum balas diterima mendapati masyarakat Orang Asli setempat menyatakan sokongan mereka terhadap calon PH itu.

“Susulan langkah turun padang yang dilakukan, masyarakat Orang Asli yakin kerajaan memahami permasalahan dihadapi, terutama dalam isu membabitkan kebajikan dan hak asasi mereka.

“Malah, kira-kira 300,000 Orang Asli di seluruh negara berharap apa saja bantuan atau dana khas sara hidup dapat diteruskan dan percaya ia menjadi keutamaan dalam bajet negara tahun depan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Selain bantuan sara hidup, katanya, Orang Asli turut dahagakan perubahan yang akan membolehkan mereka berdikari dan tidak lagi bergantung kepada cara tradisional untuk menyara hidup.

Katanya, Orang Asli mempunyai kebolehan dalam bercucuk tanam dan perlu diberi nilai tambah menerusi bantuan kerajaan supaya dapat menyumbang kepada bekalan makanan negara.

“Jika mereka menanam sayur, kita harus membantu supaya mereka menjadikan kegiatan itu sebagai sumbangan terhadap pengeluaran sayuran dalam negara, sekali gus mengurang kebergantungan import.

“Isu tanah yang diwartakan untuk Orang Asli juga harus diberi perhatian kerana dengan keadaan kampung yang sempit dan tidak teratur, ramai Orang Asli mula kembali ke dalam hutan.

“Keadaan ini menyebabkan mereka tidak menikmati kemudahan elektrik atau air, malah anak tidak bersekolah, menyebabkan mereka ketinggalan menikmati kemakmuran ekonomi negara,” katanya.

Beliau yakin ramai masyarakat Orang Asli akan keluar mengundi pada 13 Oktober ini sebagai tanda berterima kasih pada kerajaan.

22 dibaca
Berita Harian X