Selasa, 9 Oktober 2018 | 8:41pm
(DARI kiri) Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Penganalisis politik Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan penganalisis media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Azahar Kasim dalam temu bual khas secara langsung di Facebook Berita Harian Online sempena PRK Port Dickson di Sri Pena, Port Dickson, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Peratusan keluar mengundi tentukan kemenangan Anwar

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mampu menang dengan majoriti selesa jika peratusan keluar mengundi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus.

Penganalisis politik Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata kadar itu penting dalam menentukan kemenangan Ketua Umum PKR itu dalam PRK ini.

“Mengikut sejarah, Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 17,777 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11), sebelum PKR menang di kerusi berkenaan pada PRU-12 dan PRU-13 dengan majoriti sangat kecil, iaitu kurang 3,000 undi.

“Bagaimanapun, pada PRU-14 lalu, PKR menang dengan majoriti 17,710 undi yang disumbangkan oleh peratusan keluar mengundi yang sangat besar iaitu mencecah 85 peratus.

“Berdasarkan trend peratusan keluar mengundi yang tidak mencecah 50 peratus di PRK Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong sebelum ini, ada kebimbangan jika keadaan sama berulang, ia akan mengancam peluang Anwar untuk menang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas secara langsung di Facebook Berita Harian Online sempena PRK Port Dickson di Sri Pena di sini, hari ini.

Temu bual bertajuk ‘Anwar: Dari Port Dickson ke Putrajaya’ itu yang dikendalikan oleh Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, turut menampilkan penganalisis media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Azahar Kasim.

Mohd Azizuddin berkata, kehadiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad pada ceramah mega di sini, malam tadi, mampu menggalakkan lebih ramai pengundi keluar mengundi Sabtu ini.

Sementara itu, Azahar berkata, Anwar perlu menjadi Ahli Parlimen sekarang dengan sokongan Dr Mahathir bagi menunjukkan kepada rakyat kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik, sekali gus membolehkan kerajaan PH berfungsi tanpa masalah.

“Isu (perselisihan) antara Anwar dan Dr Mahathir ini besar dan jika tidak dikendalikan dengan baik akan menjadi masalah yang menjejaskan PH, seterusnya boleh merosakkan keseluruhan pembinaan kerajaan PH yang baru berusia lima bulan.

“Keadaan sekarang kritikal, rakyat sedang memerhatikan prestasi kerajaan PH dan pemimpin sedar jika isu Anwar-Mahathir tidak diselesaikan, kerajaan PH dikhuatiri tidak mampu memberi tumpuan untuk membangunkan negara,” katanya.

Berita Harian X