Selasa, 9 Oktober 2018 | 5:12pm
PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

'Hilang' 40 peratus pengundi PD kerana...

PORT DICKSON: Kegagalan kerajaan terdahulu mewujudkan peluang pekerjaan mencukupi di sesetengah kawasan di daerah ini menyebabkan ‘kehilangan’ kira-kira 30 hingga 40 peratus pengundi yang terpaksa bekerja di luar Port Dickson.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata keadaan itu menyebabkan kerajaan semasa terpaksa bekerja keras memastikan mereka pulang mengundi Sabtu ini.

“Di sesetengah Dewan Undangan Negeri (DUN), bilangan pengundi luar mencecah 30 hingga 40 peratus akibat masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

“Masalah itu antara lain berpunca daripada kurangnya peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Itu sebabnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempennya menekankan akan berusaha membawa masuk pelaburan swasta ke Port Dickson.

“Ini adalah antara usaha merancakkan pembangunan di daerah ini selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan berbanding pembangkang terdahulu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH PRK Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PH yang amat memberi tumpuan terhadap pengundi luar dalam kempen pilihan rayanya berbanding calon Bebas lain.

Menurutnya, jentera PH turut menghubungi pengundi luar dan menggesa mereka pulang mengundi pada 13 Oktober ini.

“Kami juga menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah 70 peratus seperti diharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan berharap mesej ini sampai kepada pengundi luar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada kempen (PRK) di pentas bersama Anwar, yang juga calon PH pada PRK Port Dickson malam tadi, membuktikan perubahan budaya pimpinan kerajaan hari ini.

“Kehadiran Perdana Menteri dan menteri lain yang juga pemimpin parti adalah perubahan budaya, sekali gus menampakkan tidak wujud masalah dalam pucuk pimpinan PH.

“Kehadiran Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH adalah detik bersejarah dan isyarat jelas mengembalikan status Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’,” katanya.

Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di PD Waterfront malam tadi mencipta sejarah negara apabila kedua-duanya kembali berkongsi pentas sama selepas 20 tahun.

Kali terakhir mereka berada di pentas sama ialah pada 31 Ogos 1998, ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-41, beberapa hari sebelum konflik kedua-dua pemimpin itu tercetus.

Berita Harian X