Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:43pm
TAN Sri Isa Samad menyapa wartawan yang membuat liputan ketika meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini. - Foto BERNAMA

Nilai saya naik kalau menang - Isa

PORT DICKSON: Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad, berseloroh dengan mengatakan nilai dirinya akan “naik berganda” dan menjadi rebutan banyak pihak jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagaimanapun belum berfikir untuk menyertai mana-mana parti politik jika memenangi pilihan raya berkenaan.

“Kalau menang nanti, mesti banyak parti merisik saya. Nilai sebagai individu pun naik.

“Namun saya tidak fikir lagi sama ada ingin masuk parti kerajaan atau kembali kepada UMNO (kalau menang kerusi Parlimen Port Dickson),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, hari ini.

Mohd Isa berkata, tumpuannya kini adalah untuk memenangi PRK Port Dickson sebelum mengambil pendirian menyertai parti politik atau sebaliknya.

“Biar saya menang dulu, lepas PRK saya akan fikir nak masuk parti mana. Buat masa ini fokus saya adalah untuk menang.

“Mengenai hati untuk pilih parti mana selepas menang, hanya Tuhan yang tahu. Belum ada kecenderungan ke arah parti mana,” katanya.

25 dibaca
Berita Harian X